Monday, January 20, 2014

NABI MUSA DENGAN SIKAYA DAN SIMISKIN

Nabi Musa AS memiliki umat yang jumlahnya sangat banyak dan umur mereka panjang-panjang. Ada golongan yang kaya dan ada juga golongan yang miskin.

Suatu hari ada seorang yang miskin datang menghadap Nabi Musa AS. Ia kelihatan begitu miskin, pakaiannya compang-camping dan sangat lusuh berdebu.


Si miskin itu kemudian berkata kepada Baginda Musa AS, “Ya Nabi Allah, tolong sampaikan kepada Allah SWT permohonanku ini agar Allah SWT menjadikan aku orang yang kaya.”

Nabi Musa AS tersenyum dan berkata kepada orang itu, “Saudaraku, banyak-banyaklah kamu bersyukur kepada Allah SWT.

Si miskin itu agak terkejut dan kesal, lalu ia berkata, ” Bagaimana aku mahu banyak bersyukur, sedangkan aku jarang dapat makan, dan pakaian yang aku gunakan pun hanya satu pasang ini saja! “.
Akhirnya si miskin itu pulang tanpa mendapatkan apa yang diinginkannya. Tidak lama kemudian ada seorang kaya datang menghadap Nabi Musa AS. Orang tersebut bersih badannya juga rapi pakaiannya.

Ia berkata kepada Nabi Musa AS, “Wahai Nabi Allah, tolong sampaikan kepada Allah SWT permohonanku ini agar dijadikannya aku ini seorang yang miskin, kadang kala aku merasa terganggu dengan hartaku itu.”

Nabi Musa AS pun tersenyum, lalu ia berkata, “Wahai saudaraku, janganlah kamu bersyukur kepada Allah SWT.”

“Ya Nabi Allah, bagaimana aku tidak bersyukur kepada Alah SWT?. Allah SWT telah memberiku mata yang dengannya aku dapat melihat. Telinga yang dengannya aku dapat mendengar. Allah SWT telah memberiku tangan yang dengannya aku dapat bekerja dan telah memberiku kaki yang dengannya aku dapat berjalan, bagaimana mungkin aku tidak mensyukurinya”, jawab si kaya itu.

Akhirnya si kaya itu pun pulang ke rumahnya. Kemudian terjadi adalah si kaya itu semakin Allah SWT tambah kekayaannya kerana ia selalu bersyukur. Dan si miskin menjadi bertambah miskin. Allah SWT mengambil semua kenikmatan-Nya sehingga si miskin itu tidak memiliki selembar pakaian pun yang melekat di tubuhnya. Ini semua kerana ia tidak mahu bersyukur kepada Allah SWT.

Bila menyebut mengenai kesyukuran, tentu kita teringat tentang firman Allah SWT di dalam sebuah Hadis Qudsi yang menyebut mengenai sifat syukur, iaitu: “Kalau Aku uji kamu dengan kesusahan, kamu tidak mahu bersabar, dan kalau Aku uji kamu dengan nikmat, kamu tidak mahu bersyukur, maka nyahlah kamu dari bumi dan langit Allah ini dan pergilah cari Tuhan yang lain.”

Kalau kita perhatikan hidup manusia ini dengan teliti, kita akan dapati bahawa manusia ini sedetik pun tidak terlepas dari diuji. Manusia diuji dengan ujian kesusahan ataupun ujian nikmat yang silih berganti datangnya. Kemudian manusia dituntut supaya bersabar dalam menerima kesusahan serta bersyukur dalam menerima nikmat. Jadi, pada hakikatnya, apa sahaja pergolakan dan perubahan yang berlaku dalam hidup manusia ini, ia hanya mempunyai dua sifat atau dua bentuk. Sama ada ia ujian kesusahan atau ujian nikmat. Atas kedua-dua bentuk ujian ini, hati kita perlu menerimanya dengan betul, iaitu bersabar apabila menerima kesusahan dan bersyukur apabila dikurniakan nikmat.

Di antara kedua-dua tuntutan ini, sekali imbas kita lihat, bersabar itu lebih susah dan lebih berat untuk dipraktikkan. Ini kerana dalam bersabar, hati manusia perlu melalui kesusahan, keresahan, tekanan dan penderitaan. Emosi, fikiran dan ketenangan jiwa terganggu. Kebahagiaan hilang. Bersyukur pula, pada sekali imbas, nampak lebih senang dan mudah kerana hati manusia berada dalam keadaan tenang dan gembira; tidak ada tekanan atau penderitaan.

Apakah ini benar? Adakah bersyukur itu lebih mudah dari bersabar? Kalau benar kenapa tidak ramai orang yang mampu bersyukur? Kenapakah orang-orang yang benar-benar bersyukur itu sedikit sekali bilangannya.

Kenapakah Allah ada berfirman di dalam Al Quran: “Sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah As-Saba’: 13)

Bersyukur itu sebenarnya berperingkat-peringkat. Ramai orang, apabila mendapat nikmat, lantas mereka memuji Allah. Mereka ucapkan “Alhamdulillah”. Ini bersyukur cara biasa. Ramai yang boleh bersyukur dengan cara ini. Akan tetapi, kalau setakat ucapan sahaja, ia belum lagi dikira bersyukur yang sebenarnya. Kalau setakat ucapan sahaja, tetapi tuntutan tuntutan lain dalam bersyukur itu tidak dilaksanakan, maka ditakuti ucapan “Alhamdulillah” itu hanyalah untuk mempermain-mainkan atau mempersendakan Allah sahaja.

Ramai juga orang, apabila menerima nikmat atau diselamatkan dari bala bencana, lantas mereka memuji Allah dan mengucapkan “Alhamdulillah”. Di samping itu hati mereka benar-benar merasakan Allahlah yang telah memberi mereka nikmat itu, atau Allahlah yang telah menjauhkan mereka dari bala bencana tersebut. Mereka diberi pahala kerana merasakan syukur itu di dalam hati mereka. Ini bersyukur peringkat kedua.

Adapun syukur yang sebenar itu ialah syukur yang diucapkan oleh lidah, yang dirasakan atau ditasdikkan di dalam hati, dan yang dilaksanakan dalam perbuatan. Di samping mengucapkan “Alhamdulillah” dan di samping merasakan di hati bahawa Allahlah yang mengurniakan nikmat tersebut, nikmat itu mesti digunakan atau dikorbankan ke jalan Allah. Inilah hakikat kesyukuran yang sebenarnya.

Kalau kita kaya contohnya, kekayaan itu perlu digunakan ke jalan Allah untuk membantu fakir miskin, untuk jihad fisabilillah dan untuk kemaslahatan umat Islam keseluruhannya. Begitulah juga dengan segala bentuk nikmat Allah yang lain. Semuanya perlu dimanfaatkan ke jalan Allah untuk mendapat keredhaan-Nya.

Firman Allah : Maksudnya: “Kalau kamu bersyukur atas nikmat-nikmat-Ku, Aku akan tambah lagi nikmat-nikmat-Ku. Tetapi kalau kamu kufur nikmat, ingatlah sesungguhnya siksa-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim: 7)

Syukur seperti inilah yang Allah suka dan yang Allah mahu. Dia akan tambah lagi nikmat-Nya, untuk cover balik apa yang dikorbankan ke jalan Allah itu.

Justeru itu, kita dapati dalam bersyukur itu ada tugas, ada kerja dan ada tanggungjawabnya iaitu kita terpaksa mengguna dan mengorbankan segala nikmat yang Allah kurniakan itu ke jalan Allah. Nikmat Allah itu perlu ditadbir, diurus dan digunakan pada jalan yang betul. Amat mudah bagi manusia lupa diri dan menggunakan nikmat Allah itu kepada jalan yang sia-sia atau lebih berat lagi kepada jalan maksiat. Kalau ini berlaku maka nikmat itu akan bertukar menjadi bala dan mendapat laknat daripada Allah.

Dalam bersabar, kita tidak ada kerja atau tanggungjawab tambahan selain dari menahan perasaan. Tidak ada bahaya menyalahgunakan nikmat kurniaan Tuhan. Apa yang perlu hanyalah menjaga dan mendidik hati supaya dapat menerima ketentuan Allah itu dan berbaik sangka dengan-Nya.
Barulah kita faham kenapa Allah berfirman bahawa sedikit sekali hamba-hamba-Nya yang bersyukur kerana bersyukur itu sendiri bukanlah suatu perkara yang mudah.

Fahamlah kita sekarang, bersyukur itu rupanya lebih berat dari bersabar.

KAUM AAD DISERANG TAUFAN

Keadaan menjadi semakin meruncing membuatkan Nabi Hud terpaksa menyerahkan kaumnya kepada takdir Allah, dengan berkata kepada kaumnya: “Baiklah jika kamu sekalian sungguh meragukan kebenaran kata-kataku dan tetap berkeras tidak menghiraukan dakwahku juga enggan meninggalkan penyembahan terhadap berhala-berhala itu, maka tunggulah saat tibanya pembalasan Allah di mana kamu tidak akan dapat melepaskan diri dari bencana-Nya dan penyesalan pada waktu itu tidak akan menolongmu. Allah telah menjadi saksiku bahawa aku sudah menyampaikan risalahNya dengan sepenuh tenagaku kepadamu dan akan tetap berusaha sepanjang hayatku memberi penerangan dan tuntutan kepada jalan yang baik yang digariskan oleh Allah bagi hamba-hambaNya.”

Pembalasan Allah terhadap kaum Aad yang engkar itu diturunkan dalam dua peringkat. Peringkat yang pertama berupa kekeringan iaitu kemarau yang melanda ladang-ladang serta kebun-kebun mereka sehingga menimbulkan kecemasan dan kebimbangan kalau-kalau mereka tidak dapat memperolehi hasil dari ladang dan kebun sebagaimana biasanya.

Namun dalam keadaan demkian, Nabi Hud masih berusaha meyakinkan mereka, bahawa kemarau itu adalah permulaan seksaan Allah yang dijanjikan dan bahawa Allah masih memberikan kesempatan kepada mereka untuk sedar akan kesesatan dan kekafiran mereka dari kembali bertaubat, beriman kepada Allah dengan meninggalkan pekerjaan menyembah berhala-berhala mereka, juga memohon pengampunan dari Allah agar segera hujan turun kembali dengan derasnya dan terhindarlah mereka dari bahaya kelaparan yang mengancam.

Akan tetapi mereka tetap berdegil belum mahu mempercayai dan menganggap janji yang dibuat oleh Nabi Hud itu adalah kosong belaka. Mereka bahkan pergi menghadap batu-batu berhala memohon perlindungan dan malapetaka yang mereka alami.

Tentangan mereka terhadap janji Allah yang telah diwahyukan kepada Nabi Hud itu segera mendapat jawapan dengan datangnya pembalasan Allah pada peringkat kedua yang dimulai dengan terlihatnya gumpalan awan dan mega hitam yang tebal. Pada pandangan mereka gumpalan awan dan mega hitam itu adalah hujan yang akan segera turun membasahi segenap ladang dan kebun sayuran sedang mengalami kekeringan. Mereka menyambutnya dengan sorak-sorai gembira.

Melihatkan sikap kaum Aad yang sedang bersuka-ria itu, berkatalah Nabi Hud dengan nada yang mengejek,”Mega hitam itu bukanlah mega dan awan rahmat bagi kamu tetapi mega yang akan membawa kehancuran kepada kamu sebagai pembalasan Allah yang telah kujanjikan dan kamu nantikan untuk membuktikan akan kebenaran kata-kataku yan selalu kamu sekalian sangkal dan kamu dustakan.”

Sejurus kemudian menjadi menjadi kenyataanlah tentang apa yang telah diramalkan oleh Nabi Hud itu bahawa bukan hujan yang turun dari awan yang tebal itu tetapi angin taufan yang amat dahsyat dan kencang disertai dengan suara gemuruh yang mencemaskan telah memusnahkan bangunan rumah dari dasarnya, membawa berterbangan semua perabot dan milik harta-benda dan melempar jauh binatang-binatang ternak. Keadaan kaum Aad menjadi panik, mereka berlari tidak ketentuan arah mencari tempat perlindungan. Suami tidak tahu di mana isterinya berada dan ibu juga kehilangan anak-anaknya.

Bencana angin taufan itu berlarutan selama lapan hari tujuh malam, sehingga sempat menyapu bersih kaum Aad yang sombong itu dan menamatkan riwayatnya di dalam keadaan yang menyedihkan untuk menjadi pelajaran dan ibrah bagi umat-umat yang akan datang. Ada pun Nabi Hud serta para-para sahabat yang beriman, telah mendapat perlindungan Allah dari malapetaka yang menimpa kaumnya itu dan tetap berada dalam keadaan selamat, aman dan tenang seraya melihat keadaan kaumnya yang kacau-bilau, mendengar gemuruhnya angin dan suara pohon-pohon dan bangunan-bangunan yang berjatuhan disertai dengan teriakan, tangisan orang meminta pertolongan dan perlindungan.

Setelah suasana kembali tenang dan tanah ‘Al-Alqaf sudah menjadi sunyi-sepi dari segala makhluk, pergilah Nabi Hud meninggalkan tempatnya berhijrah ke Hadramaut, di mana di situ beliau tinggal menghabiskan sisa hayatnya sambil meneruskan dakwahnya sehingga beliau wafat dan dikuburkan di situ, di mana hingga sekarang makamnya yang terletak di atas sebuah bukit di suatu tempatan berhampiran Kota Siwun.

Dari kisah Nabi Hud di atas dapatlah kita ambil beberapa pengajaran untuk dijadikan peringatan kita bersama dalam meneruskan penghidupan di masa akan datang.

Nabi Hud telah memberikan contoh dan sistem yang baik yang sepatutnya ditiru serta diikuti oleh setiap para pendakwah dan ahli penerangan agama. Di mana beliau menghadapi kaumnya yang sombong lagi degil itu dengan penuh kesabaran, keunggulan dan berlapang dada. Beliau tidak sekali-kali membalas ejekan-ejekan juga kata-kata kasar mereka, tetapi menolaknya dengan kata-kata yang halus yang menunjukkan bahawa beliau dapat menguasai perasaannya dan tidak sampai hilang akal atau kesabaran. Juga Nabi Hud tidak mudah marah dan tidak gusar ketika kaumnya mengejek dengan me nuduhnya telah menjadi gila dan sesat. Beliau dengan lemah-lembut menolak tuduhan dan ejekan itu dengan penuh hikmah.

Dalam berdialog dengan kaumnya, Nab Hud sentiasa berusaha mengetuk hati nurani mereka dan mengajak mereka berfikir secara matang, menggunakan akal fikiran yang sihat, dengan memberikan nasihat yang bernas terhadap kebenaran dakwahnya dan kesesatan jalan mereka. Namun hidayah itu adalah dari Allah, Dia akan memberi-Nya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki Nya.

BAGAIMANA NABI IBRAHIM MEMBINA KAABAH

Telaga Zam Zam semakin dikunjungi manusia, sehingga itu terbangun sebuah masyarakat baru. Perkembangan secara mendadak ini telah sampai pada pengetahuan beberapa suku kaum yang menetap di bahagian pendalaman kota Makkah. Ini menarik perhatian mereka dan dengan itu mereka mengambil kesempatan untuk sama-sama menyertai serta mendapatkan manfaat dari telaga suci Zam-Zam.


Hajar, ibu Nabi Ismail tidak keberatan menerima penghijrahan mereka. Malah Hajar menyambut mereka sebagai tetamu-tetamu terhormat dengan diberi layanan yang sebaik-baiknya. Keadaan ini mereka menghormati dan memuliakan lagi keluarga Nabi Ibrahim. Juga mereka bersedia mematuhi peraturan-peraturan yang telah diatur dan ditetapkan oleh Hajar. Justeru itu keadaan ini membawa mereka hidup dalam suasana berkasih sayang dan saling bertolong bantu.

Nabi Ismail yang kian dewasa, hidup di tengah-tengah kelompok masyarakat itu, turut melaksanakan tugas suci seperti Nabi Ibrahim. Menyebar dan menyampaikan risalah Allah serta membawa masyarakat sekelilingnya kepada jalan yang benar, sehingga akhirnya bangsa Arab yang terkenal dengan sikap kasar dan bengis itu mengubah sikap mereka.

Nabi Ismail seterusnya membina sebuah keluarga dengan menikahi seorang gadis dari bangsa Jurhum. Namun dengan gadis pertama ini, kehidupan mereka tidak kekal lama. Melalui isteri keduanya, kebahagiaan hidup dapat dirasai oleh Nabi Ismail di samping anak-anak yang dikurniakan sebagai keturunannya. Dan dari keturunan itu lahirnya Nabi Muhammad SAW.

Kerinduan Nabi Ibrahim yang sekian lama berpisah dengan puteranya Ismail kian menebal di dadanya. Namun kerana tugasnya sebagai Nabi Allah, menyampaikan dakwah dan risalah Allah, keinginannya untuk bertemu itu ditangguhkan pada suatu masa yang belum pasti.

Nabi Ibrahim terpaksa mengembara ke seluruh pelusuk padang pasir yang amat luas, bagi menemui rombongan-rombongan atau kafilah-kafilah manusia, menyeru dan mengajak mereka pada agama yang benar menyembah dan mengEsakan Allah. Inilah suatu tugas berat yang mesti dilaksanakan oleh baginda sebagai utusan Allah.

Sementara Nabi Ismail pula tetap berada di sekitar telaga Zam Zam, yang terus menerus mengeluarkan airnya dan sentiasa dikunjungi manusia, sehingga pertambahan mereka menyebabkan keadaan di sekitar Zam Zam berubah kepada sebuah kota, iaitu yang selalu disebut-sebut mereka sebagai kota Makkah.

Ketika Nabi Ibrahim sibuk dengan tugasnya mengajak dan menyeru manusia menyembah Allah, maka Allah SWT telah menurunkan wahyu memerintahnya mendirikan Rumah Allah (Baitillahil Haram) iaitu Kaabah berhampiran telaga Zam Zam. Tugas suci ini mesti dilakukan bersama-sama anaknya Nabi Ismail.

Dengan itu Nabi Ibrahim segera menuju ke Makkah, mendapatkan Ismail. Tiba di Mekah mereka bertemu di telaga Zam Zam. Di dalam kemuncak kegembiraan atas pertemuan itu Nabi Ibrahim memberitahu Nabi Ismail akan wahyu Allah yang diterimanya, “Wahai anakku Allah telah memerintahkan kepadaku untuk mendirikan sebuah rumah di atas dataran yang tinggi itu.” Binaan Rumah Allah akan dibina berhampiran telaga Zam-Zam.

Mendengarkan perintah itu Nabi Ismail yang sangat taat pada Allah dan kedua orang tuanya, hanya menundukkan kepalanya tanpa sebarang kata. Setelah itu kedua Nabi Suci Allah segera menuju pada tempat yang telah ditetapkan oleh Nabi Ibrahim secara tapak pembinaan Baitillahil Haram. Dengan dibantu oleh beberapa alat dan dengan tulang empat kerat yang ada, mereka membuat kerja-kerja mendatarkan tanah, mengangkut, mengumpulkan pasir dan seterusnya sedikit demi sedikit meninggikan beberapa tiang dan benteng Kaabah.

Dalam pada mereka bekerja keras berhempas pulas mengerjakan pembinaan Rumah Allah, kedua Nabi suci itu memanjatkan doa kepada Allah dengan berkata, “Ya Allah. Terimalah persembahan kami, Engkau Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Wahai Tuhan Jadikanlah kami muslimin untuk Engkau, begitu pula anak dan keturunan kami semua menjadi umat yang Islam. Tunjukkanlan kepada kami akan cara peribadatan kami, berilah ampun terhadap kami, kerana Engkau Maha Pengampun lag Maha Pengasih.”

Doa Nabi Ibrahim ini Allah SWT rakamkam dalam Al Quran dalam surah Al Baqarah ayat 128.
Nabi Ibrahim ketika berdoa, baginda telah berdiri pada satu tempat yang berhampiran dengan bangunan Kaabah yang sedang dalam pembinaan. Dan tempat berdiri baginda itulah yang dinamakan Maqam Ibrahim yang sekarang ini sesiapa yang mengadakan tawaf di rumah suci Allah itu disunnahkan melakukan sembahyang sunat dua rakaat dan berdoa. Maqam NaD Ibrahim ini adalah merupakan di antara tempat-tempat berdoa yang dimakbulkan Allah. Sehinggalah di saat ini tempat itu sentiasa menjadi rebutan ribuan manusia setiap tahun yang tidak pernah kosong dari dahulu dan sekarang.

Doa yang telah diucapkan oleh Nabi Ibrahim itu mengandungi dua makna terpenting. Pertamanya, merupakan persembahan kepada Allah terhadap apa yang telah mereka kerjakan. Bergantung kepada sejauh mana penilaian Allah terhadap usaha-usaha mereka. Sementara yang keduanya, mengandungi permohonan atau pengharapan. Mengharap agar Allah menjadikan Ibrahim dan Ismail serta keturunan mereka menjadi manusia yang beragama Islam dan dipilih menjadi orang-orang yang beriman serta yang menyerah diri semata-mata kepada Allah. Dan juga agar Allah menunjukkan kepada mereka cara-cara beribadah yang sebenarnya.

Nabi Ibrahim dan Ismail kembali meneruskan pekerjaan yang beium selesai. Setelah binaan Kaabah hampir siap, mereka dapati masih ada kekurangan yang perlu ditambah. Waktu itulah Allah SWT dengan kekuasaan-Nya menghantarkan kepada mereka seketul batu hitam dari syurga. Batu yang luar biasa keadaannya, berwarna hitam (asal berwarna putih) serta berkilat.

Oleh kerana gembiranya mereka mendapatkan pemberian besar dari Allah itu, mereka mengucapkan syukur berulang-ulang kali sambil mengucup batu tersebut dan di waktu yang sama mereka membawanya mengelilingi Rumah Allah dan sama-sama meletakkan pada tempatnya, yang sekarang ini dinamakan Hajar Aswad.

Peristiwa ini dijadikan salah satu dari ibadah- ibadah sunat yang digalakkan melakukannya semasa mengerjakan haji. Kerana itu pada setiap kali musim haji, mereka yang tawaf keliling Kaabah berebut-rebut untuk mengucup batu hitam tersebut. Sementara mereka yang tidak berpeluang berbuat demikian memadailah dengan mengangkat tangannya sebagai syarat ke arah batu hitam dan mencium tangannya. Seolah-olah ia juga turut menciumi Hajar Aswad.

Sekalipun ibadah ini bukan ibadah yang wajib, tetapi setiap muslimin yang datang ke situ berhabis tenaga untuk mendapatkannya, kerana ia memberi kesan mendalam bagi seseorang yang dapat berbuat demikian seperti mencium Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Ismail. Merekalah orang yang pertama sekali melakukan begitu pada Hajar Aswad. Begitu juga seakan-akan mencium Nabi Muhammad, para sahabat, orang-orang soleh yang pernah datang ke situ.

Pengaruh ini dibawa oleh seorang yang bernama Amar bin Lahyin. Seorang yang terkenal dengan hartawan dan juga dermawan. Kedermawanan Amar pernah satu ketika menyumbangkan 10,000 ekor unta dan membahagi-bahagikan makanan dan pakaian kepada berpuluh-puluh ribu jemaah haji. Oleh kerana kebanyakan jemaah haji yang datang itu terdiri dari mereka yang kurang pengetahuan dan kefahaman tentang ajaran Ibrahim, mereka menganggap perbuatan Amar itu sebagai satu perbuatan yang suci. Mereka juga menganggap Amar seorang yang mulia dan suci sehingga menyama tarafkan Amar dengan Tuhan. Segala apa yang dikatakan oleh Amar dianggap wahyu dan syariat. Akhirnya berubah dan terbubar keseluruhan ajaran Nabi Ibrahim. Dan manusia kembali kufur dan derhaka kepada Allah.

Mereka kembali kepada ajaran umat manusia sebelum kedatangan Nabi dan Rasul. Mereka menyembah berhala dan memuliakan binatang (unta). Menyembah Al Manat, Yaghut, Nasr dan lain-lain berhala yang sengaja mereka bawa masuk ke kota suci Makkah dan memenuhi Kaabah dengan patung-patung berhala mereka. Hingga Kota Makkah dan seluruh Tanah Arab dipenuhi berhala dan cara penyembahan yang karut itu. Demikianlah besarnya pengaruh manusia kepada ajaran Amar.

Namun demikian Allah SWT tidak akan membiarkan bumi-Nya dipenuhi oleh kejahilan, kederhakaan dan kekurafatan manusia. Maka Allah mengutuskan Nabi Muhammad dari keturunan Ismail dan Ibrahim, untuk seluruh umat manusia. Kedatangan bagindaadalah membersih dan mengembalikan manusia kepada menyembah dan mengesakan Allah SWT.

Demikianlah Allah telah menerima permohonan dan doa Nabi Ibrahim dan Ismail. Sementara perjuangan yang dilakukan oleh Rasulullah, para sahbat serta orang-orang soleh, juga para ulama menegakkan kembali ajaran Allah, bukan sahaja terpikul di atas bahu mereka, malah inilah juga perjuangan bagi seluruh umat muslimin, dalam mengajak manusia kepada kebenaran.

Firman Allah pada akhir surah Al Haj yang bermaksud: “Berjuanglah kamu di jalan Allah dengan sebenar-benar kesungguhan (jiwa, raga dan harta). Ia (Allah) sudah memilih kamu dan tidaklah ia menjadikan satu perkara yang amat berat atas kamu dalam agama ini, iaitu agama yang diajarkan oleh bapa kamu Ibrahim, lalah yang menamakan kamu Muslimin sebelum ini dan juga dalam Al Quran, agar Rasul itu menjadi penyampai (berita) kepada kamu. Maka dirikanlah sembahyang, keluarkanlah zakat, dan berpeganglah dengan agama Allah. Ia Tuhan kamu, adalah sebaik- baik Tuhan dan sebaik-baik penolong.”

Tindakan ini melambangkan rasa cinta-iaitu cinta seorang hamba terhadap kekasih-kekasih Allah. Ini juga bererti mencintai Allah. Kerana kecintaan inilah yang menarik jutaan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia untuk datang mengerjakan haji dan tawaf di Kaabah atau Baitul Atiq atau Baitul Makmur iaitu rumah yang selalu dikunjungi manusia, sebagaimana Baitul Makmur yang ada di langit tempat tumpuan para Malaikat.

Setelah pembinaan rumah Allah itu selesai, maka Allah mengajarkan kepada Nabi Ibrahim dan Ismail bagaimana untuk mengerjakan ibadah haji iaitu cara penyembahan terhadap Allah SWT. Dengan ibadah ini jugalah Nabi Ibrahim dan Ismail menyampai dan menunjuk ajar kepada semua para nabi dan rasul yang kemudiannya hinggalah ibadah haji ini sampai kepada Nabi terakhir dan penutu segala nabi iaitu Nabi Muhammad SAW. Ibadah-ibadah yang termasuk sembahyang, puasa, zakat dan haji, kerana nabi-nabi dan rasul-rasul yang diutuskan kemudian hanya tinggal meneruskan saja ajaran Nabi Ibrahim.

Akhirnya Nabi Ibrahim berdoa lagi pada Allah, “Wahai Tuhan Kami! Sesungguhnya aku menempatkan anak turunanku di lembah yang tidak mempunyai tumbuh-tumbuhan dan manusia, di sekirat rumah Engkau yang suci (Kaabah). Ya Tuhan! Agar mereka mendirikan sembahyang. Jadikanlah tempat ini sebagai tempat bertawaf, iktikaf, rukuk dan sujud. Jadikanlah hati manusia tertarik dan simpati terhadap mereka. Berikanlah rezeki kepada mereka dari buah-buahan. Mudah-mudahan mereka menjadi orang yang bersyukur.”

 “Wahai Tuhan! Bangkitkanlah seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu dan mengajarkan kepada mereka kitab dan hikmah, serta yang akan membersihkan mereka, kerana sesungguhnya Engkau Maha Gagah, lagi Maha Bijaksana.”
 
Berabad-abad telah berlalu, setelah kewatatan Nabi Ibrahim dan Ismail, Makkah Baitillahil Haram semakin menjadi tumpuan dan kunjungan manusia dari seluruh dunia untuk melakukan ibadah haji dan umrah. Yang dikerjakan dalam bulan-bulan tertentu dalam bulan Islam. Namun demikian, lama kelamaan, mereka mulai lupa kepada ajaran Nabi Ibrahim. Syariat yang diwahyukan Allah kepada Nabi Ibrahim satu demi satu mereka tinggalkan. Mereka mereka dan menokok tambah cara-cara ibadah yang sedia ada dengan cara dan kehendak mereka sendiri. Mereka bukan lagi menyembah Allah tetapi menyembah Rumah Allah iaitu Kaabah dan berhala.

Saturday, January 18, 2014

KISAH ALLAH TUTUP AIB PENGIKUT NABI MUSA YANG BERDOSA

Pada zaman Nabi Musa AS, Bani Israel ditimpa musim kemarau yang berpanjangan.  Mereka pun berkumpul mendatangi Nabi mereka. Mereka berkata, “Ya Kalimallah, berdoalah kepada Rabbmu agar Dia menurunkan hujan kepada kami”. Maka berangkatlah Musa A.S. bersama kaumnya menuju padang pasir yang luas. Waktu itu mereka berjumlah lebih dari 70 ribu orang. Mulailah mereka berdoa dengan keadaan yang lusuh dan penuh
debu, haus dan lapar.

Nabi Musa berdoa, “Ilaahi! Asqinaa ghaitsak.. wansyur ‘alaina rahmatak.. warhamnaa bil  athfaal ar rudhdha’.. wal bahaaim ar rutta’.. wal masyaayikh ar rukka’..” Setelah itu langit tetap saja terang benderang, matahari pun bersinar makin menyilau (maksudnya segumpal awan pun tak jua muncul). Kemudian Nabi Musa berdoa lagi, “Ilaahi.. asqinaa”..

Allah pun berfirman kepada Musa, “Bagaimana Aku akan menurunkan hujan kepada kamu sedangkan di antara kalian ada seorang hamba yang bermaksiat sejak 40 tahun yang lalu. Umumkanlah di hadapan manusia agar dia berdiri di hadapan kalian semua. Kerana dialah, Aku tidak menurunkan hujan untuk kamu”.

Maka Musa pun berteriak di tengah-tengah kaumnya, “Wahai hamba yang bermaksiat kepada Allah sejak 40 tahun, keluarlah ke hadapan kami, kerana engkaulah hujan tak  turun”. Seorang lelaki menjeling ke kanan dan kiri, maka tak seorang pun yang keluar di hadapan manusia, saat itu pula ia sedar kalau dirinya yang dimaksudkan.

Ia berkata dalam hatinya, “Kalau aku keluar ke hadapan manusia, maka akan terbuka rahsiaku. Kalau aku tidak berterus terang, maka hujan pun tak akan turun”. Maka hatinya pun gundah-gulana, air matanya pun menitis, menyesali perbuatan maksiatnya sambil berkata , “Ya Allah, Aku telah bermaksiat kepadaMu selama 40 tahun, selama itu pula Engkau menutupi aibku. Sungguh sekarang aku bertaubat kepadaMu, maka terimalah taubatku”.

Tak lama setelah pengakuan taubatnya tersebut, maka awan-awan tebal pun muncul, semakin lama semakin tebal menghitam, dan akhirnya turunlah hujan. Musa pun kehairanan, “Ya Allah, Engkau telah turunkan hujan kepada kami, namun tak seorang pun yang keluar di hadapan manusia”. Allah berfirman, “Aku menurunkan hujan kepada kamu oleh sebab hamba yang kerananya hujan tak turun telah bertaubat kepadaKu”.

Musa berkata, “Ya Allah, tunjukkan padaku hamba yang taat itu”. Allah berfirman, “Ya Musa, Aku tidak membuka aibnya sewaktu dia masih bermaksiat kepadaKu, apakah Aku perlu membuka aibnya sedangkan dia taat kepadaKu?”

Begitulah baiknya Allah..kalau lah dibuka aib kita setiap kali kita melakukan dosa, tentu lah malunya manusia. Tetapi dengan rahmatNya di tutup aib bahkan sekiranya bertaubat dan Allah ampunkan dosa2 bahkan bila  taubat di terima, akan di padam segala keaiban tersebut.

Moga di bulan Ramadhan ini kita mengakui semua dosa-dosa kita, ditaubatkan sungguh2 kerana kemuliaan Ramadhan itu, Allah berjanji melalui kekasihnya Rasulullah, diantara keistimewaan Ramadhan, bulan diampunkan semua dosa2 dan bulan akan dikabulkan semua doa2…”Ya Allah, melalui mukjizat RasulMu, ampunilah segala dosa2 kami yang terdahulu mahupun yang kemudian, yang tersembunyi mahupun yang nyata, yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui, yang disengajakan mahukan yang tidak disengajakan.Sesungguhnya kemuliaan bulan ini, moga sudilah Engkau mengampuni kami wahai Allah.”

KISAH NABI SALEH DAN KAUM TSAMUD

Nabi Saleh A.S. dengan rasa rendah hati menghadap ke hadrat Allah SWT berdoa, bermohon kepadaNya agar memberikan kepadanya satu mukjizat bagi membuktikan kebenaran risalah dan ajarannya sekaligus mematahkan segala tentangan kaumnya yang masih berkeras kepala itu. Ia bermohon kepada Allah SWT supaya menciptakan seekor unta betina yang dikeluarkan daripada sebuah batu karang yang besar yang terdapat di sisi sebuah bukit di situ.

Maka sejurus kemudian dengan keizinan daripada Allah SWT Yang Maha Kuasa lagi Maha Pencipta, terbelahlah batu karang itu dan keluarlah seekor unta betina daripadanya. Dengan menunjukkan kepada binatang yang baru keluar daripada perut batu besar itu, berkatalah Nabi Saleh A.S. kepada kaumnya; “Inilah unta yang Allah SWT telah datangkan kepada kamu sekalian sebagai bukti. Oleh itu janganlah kamu ganggui dia dan biarkanlah dia mencari makanannya sendiri di atas muka bumi Allah SWT ini. Dan satu perkara lagi iaitu, unta ini akan bergilir-gilir dengan kamu dan ternakan kamu bagi mendapatkan air minuman dan ketahuilah bahawa Allah SWT akan menurunkan azab-Nya sekiranya kamu cuba mengganggu unta ini.”

Unta Nabi Salleh A.S. bebas berkeliaran memakan rumput sesuka hatinya tanpa gangguan. Begitu juga, apabila tiba gilirannya untuk minum air, tiada seekor binatang lain berani menghampirinya. Keadaan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati pada pemilik-pemilik binatang itu yang makin hari semakin merasakan bahawa dengan kedatangan unta itu di tengah-tengah masyarakat mereka itu merupakan gangguan, bagaikan duri yang melintang di dalam kerongkong. Tetapi, dengan berhasilnya Nabi Saleh A.S. mendatangkan mukjizat itu, maka gagallah para pemuka kaum Tsamud dalam usaha mereka ingin menjatuhkan dan menghilangkan pengaruh Nabi Sa leh A.S. bahkan sebaliknya telah menebalkan pula kepercayaan orang ramai dan menghilangkan rasa ragu-ragu terhadap ajaran yang dibawa olehnya. Kini dendam kaum Tsamud semakin kuat.

Mereka berusaha pula untuk menghasut para pemilik-pemilik ternak agar membunuh unta itu dan kemudian mengusir Nabi Saleh A.S. keluar daripada kota itu. Satu kumpulan ditubuhkan oleh orang-orang dari kaum Tsamud bagi mengatur rancangan pembunuhan unta Nabi Saleh A.S. itu. Rancangan itu dikuatkan lagi apabila muncul seorang janda bangsawan yang kaya raya, menawarkan akan menyerahkan dirinya ke pada sesiapa sahaja yang berjaya membunuh unta Nabi Saleh A.S. Di samping janda itu, seorang wanita lain yang mempunyai beberapa orang anak perempuan yang cantik menawarkan tawaran yang sama seandainya ada orang yang berhasil membunuh unta itu.

Tawaran-tawaran seumpama itu dan berserta dengan rasa benci terhadap kaum Nabi Saleh A.S. akhirnya menarik perhatian dua orang pemuda daripada kaum Tsamud yang bernama Mushadda’ bin Muharrij dan Qudar bin Salif de ngan bantuan tujuh orang pemuda lain menampilkan diri mereka untuk pergi membunuh unta itu. Lalu mereka pergi bersembunyi di suatu tempat di mana biasanya dilalui oleh unta itu dalam perjalanannya ke perigi tempat ia minum. Di situlah berakhirnya hidup unta yang tidak berdosa itu apabila panah yang diajukan oleh Musadda’ mengenai betisnya disusuli pula oleh Qudar dengan menikamkan pedang di perut unta itu.

Dengan rasa bongkak dan sombong, pergilah para pemuda pembunuh unta itu keliling kota menyampaikan berita pembunuhan unta Nabi Saleh A.S. yang mendapat sambutan sorak-sorai dan riang gembira daripada orang ramai seakan-akan mereka baru kembali dari medan peperangan dengan membawa kemenangan yang gilang-gemilang. Ada di antara mereka mengejek-ejek mencabar Nabi Saleh A.S. dengan berkata: “Wahai Saleh, untamu telah kami bunuh. Oleh itu cubalah pula engkau datangkan kepada kami tentang ancaman sepertimana yang engkau janjikan, jika engkau sungguh-sungguh termasuk di dalam orang-orang yang sentiasa benar dalam berkata-kata.”

Nabi Saleh A.S. menjawab: “Telah aku peringatkan kepada kamu sekalian, bahawa Allah SWT akan menurunkan azab-Nya ke atas kamu jika kamu mengganggu unta itu. Maka dengan terbunuhnya unta itu, tunggulah kamu saat tibanya giliran kamu pula menerima azab yang Allah SWT telah janjikan. Kamu telah menentang Allah SWT, dan terimalah kelak akan akibatnya. Sesungguhnya janji Allah SWT tidak pernah meleset. Kamu sekalian boleh bersuka ria dan bersenang-senang hanya selama tiga hari, kemudian datanglah balasan Allah yang setimpal pada hari yang keempat. Demikianlah kehendak Allah SWT dan takdir-Nya yang tidak dapat dihalang atau dielakkan.”

Ada setengah pendapat daripada para ahli-ahli tafsir mengatakan bahawa, Allah SWT sengaja memberi waktu selama tiga hari kepada kaum Tsamud, bagi memberi kesempatan kalau-kalau mereka sedar akan dosa yang mereka lakukan dan bertaubat meminta keampunan seterusnya beriman kepada Allah SWT Namun kaum Tsamud tetap mengingkarinya, bahkan mengejek Nabi Saleh A.S. supaya menpercepatkan tempoh waktu datangnya azab yang dijanjikan dan tak perlu menanti selama tiga hari lagi.

Sebelum turun azab daripada Allah SWT, Nabi Saleh memberitahu kepada kaumnya bahawa azab Allah yang akan menimpa ke atas mereka itu akan didahului dengan tanda-tanda melalui tiga peringkat. Iaitu di peringkat hari yang pertama, wajah mereka akan menjadi kuning dan berubah kepada warna merah pada peringkat hari yang kedua dan berubah sekali lagi menjadi hitam berkilat pada peringkat hari yang ketiga seterusnya turunlah azab Allah SWT yang amat pedih.

Setelah mendengar akan ancaman azab yang dijanjikan oleh Nabi Saleh A.S. kaum Tsamud terdiri daripada Mushadda’, Qudar dan tujuh orang pemuda lain cuba merancang untuk membunuh Nabi Saleh A.S. Mereka bercadang membunuh Nabi Saleh di waktu malam hari bagi mengelakkan dari pengetahuan pengikut-pengikutnya. Tetapi Allah SWT tidak terus membiarkan hamba-hamba-Nya yang kafir itu membunuh Rasul-Nya sepertimana yang berlaku terhadap unta Nabi Saleh A.S. Sewaktu mereka pergi ke tempat Nabi Saleh A.S. bagi melaksanakan rancangan pembunuhan di malam yang gelap dan sunyi itu, tiba-tiba satu longgokan batu-batu besar yang tidak diketahui dari arah mana datangnya menimpa ke atas mereka sehingga mengakibatkan kematian. Demikianlah Allah SWT telah melindungi Rasul-Nya dari perbuatan mungkar dan niat jahat kaum Tsamud.
Nabi Saleh A.S. diperintahkan oleh Allah SWT supaya meninggalkan kota Hijir dan kemudiannya menuju ke Ramlah, sebuah daerah di Palestin. Sebaik-baik sahaja Nabi Saleh A.S. berserta para pengikut-pengikutnya keluar daripada situ, Allah SWT telah menurunkan azab-Nya yang amat dahsyat disusuli dengan panah petir dan gempa bumi menghancurkan bangunan, rumah-rumah serta menelan kesemua penduduk- penduduknya.

Demikianlah keadaan yang berlaku terhadap kaum Nabi Saleh A.S. iaitu suku Tsamud yang engkar kepada perintah-perintah Allah SWT Di dunia lagi Allah SWT telah musnahkan kehidupan mereka sebelum menerima azab seksaan yang lebih pedih di akhirat nanti. Apa yang dapat kita jadikan pelajaran daripada kisah Nabi Saleh A.S. ini, bahawa kerana dosa dan perbuatan mungkar yang dilakukan oleh sebahagian kecil sahaja boleh mengakibatkan seluruh masyarakat yang lain turut binasa.

Di sinilah letaknya hikmah perintah Allah SWT agar kita melakukan ‘amal makruf nahi mungkar’. Kerana dengan melakukan tugas itu, setidak-tidaknya kalau tidak berhasil mencegah kemungkaran dan maksiat, kita telah berjaya mengelakkan diri dari dosa bersubahat atau menyetujui pekerjaan mungkar itu. Bersikap sambil lewa, acuh tidak acuh terhadap maksiat serta kemungkaran yang berlaku di hadapan mata, bererti kita secara tidak langsung telah sama-sama terlibat di dalam perbuatan mungkar itu.

NABI HUD A.S DAN KAUM AAD

Nama ‘Aad’ sudah tidak asing lagi dalam sejarah Nabi Hud a.s. la merupakan suatu suku yang tertua sesudah kaum Nabi Nuh, serta terkenal dengan kekuatan jasmani dalam bentuk tubuh badan yang besar dan gagah. Dengan berkat Allah, kehidupan mereka menjadi makmur, bahagia setelah dikurniakan Allah tanah yang subur memudahkan mereka berkebun dan bercucuk tanam bagi sumber makanan seharian.


Sepertimana berlaku terhadap kaum Nabi Nuh, kaum Nabi Hud iaitu suku ‘Aad’ juga mempunyai cara penghidupan yang menyembah berhala-berhala dan tidak mengenal Allah. Mereka hidup di da­lam kesesatan di mana iblis mengambil kesempatan menambahkan kacau bilau menghasut manusia melakukan kemungkaran.

Di antara sesama manusia su­dah tidak ada belas kasihan lagi. Perbezaan darjat dan keturunan membuatkan yang kuat menindas yang lemah. Apa yang dipandang hanyalah kekayaan dan kekuatan lahiriah semata-mata. Mereka mencipta patung-patung berhala lalu dinamakan dengan nama ‘Shamud’ dan ‘Alhattar’ dan inilah men­jadi sembahan kerana menurut kepercayaan mereka tuhan-tuhan itu yang memberikan segala nikmat kehidupan, kemewahan, kebaikan dan boleh juga mendatangkan kecelakaan sekiranya manusia engkar kepadanya.

Akibat dari itu mereka tidak henti-henti bersujud serta bersyukur dan memohon perlindungan daripada kedua-dua jaatung berhala itu. Demikianlah gambaran masyarakat suku ‘Aad’ di kala itu.
Sesungguhnya Allah tidak mahu melihat hamba-hambaNya terpesong begitu jauh dari akidah yang sebenar. Lalu kerana telah menjadi sunatullah sejak munculnya Nabi Allah Adam ke bumi ini dari masa ke semasa, jika kedapatan sahaja hamba-hambaNya yang sudah jauh menyimpang dari akidah yang benar yang dibawa oleh Rasul-rasul dan Nabi-nabiNya, maka tatkala itu Allah menghantarkan seorang Nabi atau Rasul untuk menyegarkan kembali ajaran-ajaran suci Nabi-nabi sebelumnya.

Nabi Hud a.s. yang merupakan pilihan Allah s.w.t. Beliau adalah terdiri dari keluarga yang terhormat, dipandang kedudukannya ser­ta terpengaruh di antara suku-suku di zaman itu. Beliau terkenal dengan tingkah laku yang bersopan, baik budi pekerti, lurus tutur-kata, baik pergaulannya serta bijaksana dan mempunyai pemikiran yang amat luas. Nabi Hud mula menyebarkan dakwahnya terhadap kaumnya ia­itu suku ‘Aad’. Nabi Hud memberitahu akan kewujudan Allah serta kekuasaan memberi nikmat kehi­dupan yang berbagai-bagai untuk mereka kecapi bersama. Oleh ke­rana itu kita sebagai hamba-Nya wajib menyembah Allah serta menyatakan rasa kesyukuran kepadaNya. Kita manusia adalah makhluk-Nya yang juga tidak wajib merendahkan diri bersujud menyembah batu-batu berhala yang tidak kekal itu.

Nabi Hud menyeru agar kaumnya sedar dan bertaubat lantas kembali beriman kepada Allah. Tinggalkanlah perbuatan yang terkutuk itu dan hiduplah di dalam keadaan yang tenteram serta berbaik-baik sesama manusia. Dan seandainya kamu enggan mematuhi kepada apa yang diperintahkan oleh Allah, tunggulah balasan-Nya sebagaimana terjadi ke atas kaum Nuh yang mati binasa dengan air bah akibat keangkuhan mereka menolak seruan dakwah yang dilaungkan. Tetapi bagi suku ‘Aad’, mereka tetap berdegil menolak kebenaran yang diajarkan oleh Nabi Hud. Ke­pada mereka seruan itu tidak dapat difahami dan diterima oleh akal mereka kerana ianya adalah perkara baru yang sebelum ini ti­dak pernah didengari. Segalanya membuat mereka enggan menerimanya dengan hati terbuka malah mencaci dengan berbagai ejekan.

Berkata kaum ‘Aad’ kepada Na­bi Hud: “Wahai Hud, kami telah la­ma hidup dengan cara menyembah berhala-berhala ini bahkan nenek-moyang kami juga mengamalkan perbuatan ini. Bagaimana boleh kami meninggalkannya dan beralih pula kepada Tuhan engkau yang tidak dapat kami lihat dan Tuhan menurut katamu tidak bersekutu. Segala-galanya ini adalah karut dan kami tetap tidak akan berubah.”
“Wahai kaumku.” Jawab Nabi Hud, “Sesungguhnya Tuhan yang aku serukan kepada kamu untuk menyembah-Nya, walaupun kamu tidak dapat menjangkau dengan pancainderamu, namun kamu da­pat melihat dan merasakan kewujudan-Nya apabila kamu meli­hat alam semesta ini yang penuh dengan bermacam-macam kejadian seperti gunung, bulan, bintang, tumbuhan serta binatang-binatang yang kesemuanya boleh memberi faedah kepada kamu sekalian agar hidup di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan.”

“Sembahlah Allah yang Maha Esa yang tiada bersekutu, tidak beranak dan diperanakkan. Dia Maha Mengetahui setiap perbuatanmu, setiap gerak langkah hati­mu, setiap denyut jantung dan jalan fikiranmu. Jauhkanlah diri ka­mu bertuhankan patung-patung berhala yang tak bermakna yang kamu ukir dengan tangan kamu sendiri. Takutlah kamu kepada Al­lah serta ingatlah bahawa balasanNya amat dahsyat bagi mereka yang engkar.”

Mendengarkan kata-kata Nabi Hud itu kaumnya menjadi hairan dan salah seorang daripada mere­ka berkata pula: “Wahai Hud. Apa yang membuatkan engkau berpendapat demikian menghina tuhan-tuhan kami yang telah menjadi pegangan kami sejak dahulu kala lagi. Engkau mengaku bahawa eng­kau adalah utusan Tuhanmu un­tuk membawa kami kepada agama yang lurus dan benar itu. Apakah kelebihanmu sehingga dipilih sebagai Rasul-Nya sedangkan eng­kau tetap makan, minum, tidur dan hidup bercucuk tanam seperti ka­mi Apa bezanya antara engkau dengan seseorang daripada kami. Sungguh engkau ini seorang pendusta besar yang hanya berkehendakkan pengaruh untuk mendapat kekayaan.”

“Wahai kaumku,” jawab Nabi Hud, “Aku bukanlah seorang pendusta dan fikiranku tetap waras. Kamu kenal aku sejak lama aku hi­dup bersama-sama kamu sekalian, bahawa aku tidak pernah berkata bohong dan sepanjang pergaulanku dengan kamu, tidak pernah terlihat pada diriku tanda-tanda ti­dak kesempurnaan akal fikiranku. Aku adalah utusan Allah yang diamanatkan supaya memimpin ka­mu ke jalan yang benar dan diredhai Allah. Janganlah kamu mudah terpengaruh dengan bisikan iblis yang hanya ingin menyesatkan ka­mu. Maka percayalah kepadaku, berimanlah dan bersujudlah kepa­da Allah, Tuhan seru sekalian alam, Tuhan yang menghidupkan dan mematikan kamu, Tuhan yang berkuasa atas segala-galanya. Pohonkanlah keampunan daripada- Nya atas pekerjaan sesatmu itu. Aku hanya menyampaikan apa yang Allah perintahkan dan peringatkan akan akibat yang akan menimpa diri kamu jika kamu te­tap mengengkari kebenaran dakwahku.”

Kaum ‘Aad’ dengan megah menjawab: “Kami bertambah yakin dan tidak ragu lagi bahawa eng­kau ini akan mendapat kutukan tuhan-tuhan kami. Engkau telah mengucapkan kata-kata yang tidak masuk akal. Apakah azab seksa yang sentiasa engkau takut-takutkan kami dan mengancam kami? Ketahuilah bahawa kami tidak akan menyerah dan mengikuti ajaranmu dan kami tidak takut akan balasan yang engkau bayangkan bahkan kami menentang kepadamu agar datangkanlah apa yang engkau janjikan jika engkau se­orang Rasul dan bukan seorang pendusta.”

KISAH PEMUDA DI DALAM KUBAH

Nabi Sulaiman adalah anak kepada Nabi Daud A.S. Sejak kecil lagi Nabi Sulaiman sudah pandai memberi pendapat yang adil dalam satu-satu hal. Setelah wafatnya Nabi Daud, Nabi Sulaiman membesarkan kerajaan di bawah pimpinannya. Pada suatu hari, Nabi Sulaiman mengadakan perjalanan bersama rombongannya yang terdiri daripada manusia dan jin. Tujuannya adalah untuk melihat kebesaran Allah S.W.T.

Perjalanan mereka pun tiba di tepi laut, tiba-tiba Nabi Sulaiman terpandang suatu benda yang menakjubkan di dalam laut. Dia memerintahkan pada jin Ifrit, “Wahai Ifrit, cuba kamu lihat ke dalam laut, ada suatu benda yang menakjubkan aku, oleh itu kamu bawakan ia kemari”. Jin Ifrit yang sememangnya gagah tak banyak bercakap kerana takut akan murka Nabi Sulaiman dan terus menyelam ke dasar laut, namun dia tidak berjumpa apa-apa.Kemudian Nabi Sulaiman menyuruh jin yang lain menyelam untuk mendapatkan benda terbabit, namun malangnya jin tersebut pun gagal berbuat demikian. Akhirnya Nabi Sulaiman pun berkata kepada Ashif bin Barkhiya, yakni orang yang mendapat ilmu terus dari Allah, “Sekarang aku perintahkan kepadamu agar pergi ke laut dan dapatkan benda ajaib yang aku maksudkan”. Ashif bin Barkhiya pun menyelam dan terlihat suatu benda yang menyerupai kubah yang diperbuat dari kapur putih.

Dengan kekuatan yang luar biasa, Ashif bin Barkhiya membawa naik kubah ajaib tersebut dari dasar laut dan mempersembahkan kepada Nabi Sulaiman. Apabila Nabi Sulaiman melihat kubah itu dan berkata, “Wah, alangkah indahnya benda ini, tapi mengapakah aku tidak dapat melihat isi kandungan dalam benda ini padahal Allah telah memberikan mukjizat yang mana penglihatanku dapat menembusi segala sesuatu”.

Nabi Sulaiman pun berdoa kepada Allah supaya dia dapat melihat isi di dalam kubah berkenaan dan Allah memperkenankan doanya. Sejurus selepas berdoa, maka terbukalah kubah tersebut dan Nabi Sulaiman melihat ada seorang pemuda yang sedang sujud dan bertasbih memuji Allah. Nabi Sulaiman lalu berkata, “Maha suci Allah lagi Maha Besar”. Mendengar seruan Nabi Sulaiman, maka pemuda itu pun bangun dari sujud lalu memberi salam.

Nabi Sulaiman menjawab salam dan memulakan pertanyaan, “Siapakah kamu wahai pemuda! Adakah kamu malaikat, jin atau pu manusia?” Jawab pemuda itu, “Aku hanyalah seorang manusia biasa”. Nabi Sulaiman bertanya lagi, “Apakah yang membuat kamu memperolehi kemuliaan sedemikian rupa? Apakah amal yang pernah engkau kamu lakukan sehingga Allah menurunkan rahmat dan berkah yang tidak ternilai ini kepada kamu?” Pemuda itu berkata, “Saya berbakti kepada kedua ayah dan ibuku”.

Nabi Sulaiman bertanya lagi, “Bagaimanakah kamu berbakti kepada orang tuamu?” Jawab pemuda itu, “Saya memelihara mereka berdua sehingga mereka lanjut usia. Kedua ayah dan ibuku adalah orang yang soleh, mereka sangat takut dan taat kepada Allah. Sejak saya kecil hingga dewasa, mereka memelihara saya dengan baik sekali, mereka juga selalu mendoakan saya agar saya menjadi seorang yang soleh. Bapa saya meninggal dunia dalam usia lanjut dalam pemeliharaan saya dan yang tinggal hanya ibu saya yang sudah tua, lemah dan sakit serta matanya buta dan kakinya lumpuh”.

Sambung pemuda itu lagi, “Saya satu-satunya orang yang merawat dan menguruskan keperluannya. Saya selalu mengangkatnya untuk mandi dan saya memandikannya. Segala urusan makan dan minum saya uruskan dan sayalah yang menyuap makanan padanya. Ibu saya selalu mendoakan supaya saya dikurniakan ketenangan dan kepuasan dalam hidup serta memberikan saya setelah wafatnya sebuah tempat yang bukan di dunia atau pun di langit. Setelah ibu saya wafat, saya berjalan-jalan di tepi laut dan saya lihat ada suatu kubah dari mutiara. Saya mendekati kubat tersebut dan pintu kubah terbuka. Apabila saya masuk ke dalam, pintu kubah ini tertutup, maka tidaklah saya ketahui sama ada saya berada di bumi atau langit”.

Nabi Sulaiman bertanya, “Kamu hidup di zaman mana?” Pemuda itu menjawab, “Saya hidup di zaman Nabi Ibrahim A.S”. Nabi Sulaiman mengirakan umur pemuda tersebut dan dalam kiraannya umur pemuda itu telah mencapai 14,000 tahun, tetapi tiada satu uban pun pada rambutnya. Nabi Sulaiman lalu bertanya, “Apakah tuan merasakan nikmat Allah? Bagaimana Allah memberikan rezeki padamu dalam kubah ini?” Pemuda itu berkata, “Setelah saya berada di dalam kubah ini, maka tahulah saya bahawa Allah telah menciptakan syurga khusus buat saya”.

Nabi Sulaiman teringin sangat melihat syurga yang pemuda itu katakan. Kemudian pemuda itu pun berdoa kepada Allah lalu susana di dalam kubah yang gelap tiba-tiba bertukar menjadi terang-benderang. Terkejut Nabi Sulaiman sambil berkata, “Maha suci Allah seru sekian alam”. Satu pemandangan yang tak ada di dunia ini terpampang di hadapan Nabi Sulaiman dan rombongannya di mana terdapat pokok-pokok, kebun yang indah, kolam air susu dan madu serta suara-suara yang merdu di dalamnya.

Pemuda itu berkata, “Jika saya lapar, saya makan bermacam-macam buah-buahan yang pelbagai macam cita rasa, semua makanan yang saya ingin akan tersedia dan kalau saya haus, akan tersedia pula bermacam-macam jenis minuman yang paling lazat”. Nabi Sulaiman bertanya lagi, “bagaimana kamu dapat mengetahui siang atau malam?” Jawab pemuda itu, “Apabila terbit fajar maka kubah ini akan menjadi putih dan apabila matahi terbenam kubah ini akan menjadi gelap”. Kata pemuda itu lagi, “Cukuplah, sebab saat ini saya harus mengadap kembali pada Allah untuk solat dan zikir, bertasbih dan mengsucikan serta memuji kebesaranNya”.

Nabi Sulaiman dan rombongannya segera keluar dari kubah tersebut  dan pemuda itu berdoa kepada Allah, lalu tertutuplah kembali kubah itu. Nabi Sulaiman termenung sejenak memikirkan peristiwa yang dilihatnya sebentar tadi dan mengarahkan Ashif bin Barkhiya untuk membawa kubah tersebut kembali ke dalam laut di tempat asalnya.

Setelah itu Nabi Sulaiman berkata kepada rombongannya, “Untuk pertama kali aku menjumpai tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah, aku bersyukur kepada Allah dan semoga bertambah iman dalam sanubariku. Maha suci Allah dan segala puji bagi Allah dan aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar dan tiada daya dan kekuatan apa pun di dunia ini melainkan dengan kehendak Allah S.W.T”.