Nabi Saleh A.S. dengan rasa rendah hati menghadap ke hadrat Allah
SWT berdoa, bermohon kepadaNya agar memberikan kepadanya satu mukjizat
bagi membuktikan kebenaran risalah dan ajarannya sekaligus mematahkan
segala tentangan kaumnya yang masih berkeras kepala itu. Ia bermohon
kepada Allah SWT supaya menciptakan seekor unta betina yang dikeluarkan
daripada sebuah batu karang yang besar yang terdapat di sisi sebuah
bukit di situ.
Maka sejurus kemudian dengan keizinan daripada Allah SWT Yang Maha Kuasa
lagi Maha Pencipta, terbelahlah batu karang itu dan keluarlah seekor
unta betina daripadanya. Dengan menunjukkan kepada binatang yang baru
keluar daripada perut batu besar itu, berkatalah Nabi Saleh A.S. kepada
kaumnya; “Inilah unta yang Allah SWT telah datangkan kepada kamu
sekalian sebagai bukti. Oleh itu janganlah kamu ganggui dia dan
biarkanlah dia mencari makanannya sendiri di atas muka bumi Allah SWT
ini. Dan satu perkara lagi iaitu, unta ini akan bergilir-gilir dengan
kamu dan ternakan kamu bagi mendapatkan air minuman dan ketahuilah
bahawa Allah SWT akan menurunkan azab-Nya sekiranya kamu cuba mengganggu unta ini.”
Unta Nabi Salleh A.S. bebas berkeliaran memakan rumput sesuka hatinya
tanpa gangguan. Begitu juga, apabila tiba gilirannya untuk minum air,
tiada seekor binatang lain berani menghampirinya. Keadaan ini telah
menimbulkan rasa tidak puas hati pada pemilik-pemilik binatang itu yang
makin hari semakin merasakan bahawa dengan kedatangan unta itu di
tengah-tengah masyarakat mereka itu merupakan gangguan, bagaikan duri
yang melintang di dalam kerongkong. Tetapi, dengan berhasilnya Nabi
Saleh A.S. mendatangkan mukjizat itu, maka gagallah para pemuka kaum
Tsamud dalam usaha mereka ingin menjatuhkan dan menghilangkan pengaruh
Nabi Sa leh A.S. bahkan sebaliknya telah menebalkan pula kepercayaan
orang ramai dan menghilangkan rasa ragu-ragu terhadap ajaran yang
dibawa olehnya. Kini dendam kaum Tsamud semakin kuat.
Mereka berusaha pula untuk menghasut para pemilik-pemilik ternak agar
membunuh unta itu dan kemudian mengusir Nabi Saleh A.S. keluar
daripada kota itu. Satu kumpulan ditubuhkan oleh orang-orang dari kaum
Tsamud bagi mengatur rancangan pembunuhan unta Nabi Saleh A.S. itu.
Rancangan itu dikuatkan lagi apabila muncul seorang janda bangsawan
yang kaya raya, menawarkan akan menyerahkan dirinya ke pada sesiapa
sahaja yang berjaya membunuh unta Nabi Saleh A.S. Di samping janda itu,
seorang wanita lain yang mempunyai beberapa orang anak perempuan yang
cantik menawarkan tawaran yang sama seandainya ada orang yang berhasil
membunuh unta itu.
Tawaran-tawaran seumpama itu dan berserta dengan rasa benci terhadap
kaum Nabi Saleh A.S. akhirnya menarik perhatian dua orang pemuda
daripada kaum Tsamud yang bernama Mushadda’ bin Muharrij dan Qudar bin
Salif de ngan bantuan tujuh orang pemuda lain menampilkan diri mereka
untuk pergi membunuh unta itu. Lalu mereka pergi bersembunyi di suatu
tempat di mana biasanya dilalui oleh unta itu dalam perjalanannya ke
perigi tempat ia minum. Di situlah berakhirnya hidup unta yang tidak
berdosa itu apabila panah yang diajukan oleh Musadda’ mengenai betisnya
disusuli pula oleh Qudar dengan menikamkan pedang di perut unta itu.
Dengan rasa bongkak dan sombong, pergilah para pemuda pembunuh unta
itu keliling kota menyampaikan berita pembunuhan unta Nabi Saleh A.S.
yang mendapat sambutan sorak-sorai dan riang gembira daripada orang
ramai seakan-akan mereka baru kembali dari medan peperangan dengan
membawa kemenangan yang gilang-gemilang. Ada di antara mereka
mengejek-ejek mencabar Nabi Saleh A.S. dengan berkata: “Wahai Saleh,
untamu telah kami bunuh. Oleh itu cubalah pula engkau datangkan kepada
kami tentang ancaman sepertimana yang engkau janjikan, jika engkau
sungguh-sungguh termasuk di dalam orang-orang yang sentiasa benar dalam
berkata-kata.”
Nabi Saleh A.S. menjawab: “Telah aku peringatkan kepada kamu
sekalian, bahawa Allah SWT akan menurunkan azab-Nya ke atas kamu jika
kamu mengganggu unta itu. Maka dengan terbunuhnya unta itu, tunggulah
kamu saat tibanya giliran kamu pula menerima azab yang Allah SWT telah
janjikan. Kamu telah menentang Allah SWT, dan terimalah kelak akan
akibatnya. Sesungguhnya janji Allah SWT tidak pernah meleset. Kamu
sekalian boleh bersuka ria dan bersenang-senang hanya selama tiga hari,
kemudian datanglah balasan Allah yang setimpal pada hari yang keempat.
Demikianlah kehendak Allah SWT dan takdir-Nya yang tidak dapat dihalang
atau dielakkan.”
Ada setengah pendapat daripada para ahli-ahli tafsir mengatakan
bahawa, Allah SWT sengaja memberi waktu selama tiga hari kepada kaum
Tsamud, bagi memberi kesempatan kalau-kalau mereka sedar akan dosa yang
mereka lakukan dan bertaubat meminta keampunan seterusnya beriman
kepada Allah SWT Namun kaum Tsamud tetap mengingkarinya, bahkan mengejek
Nabi Saleh A.S. supaya menpercepatkan tempoh waktu datangnya azab yang
dijanjikan dan tak perlu menanti selama tiga hari lagi.
Sebelum turun azab daripada Allah SWT, Nabi Saleh memberitahu kepada
kaumnya bahawa azab Allah yang akan menimpa ke atas mereka itu akan
didahului dengan tanda-tanda melalui tiga peringkat. Iaitu di peringkat
hari yang pertama, wajah mereka akan menjadi kuning dan berubah kepada
warna merah pada peringkat hari yang kedua dan berubah sekali lagi
menjadi hitam berkilat pada peringkat hari yang ketiga seterusnya
turunlah azab Allah SWT yang amat pedih.
Setelah mendengar akan ancaman azab yang dijanjikan oleh Nabi Saleh
A.S. kaum Tsamud terdiri daripada Mushadda’, Qudar dan tujuh orang
pemuda lain cuba merancang untuk membunuh Nabi Saleh A.S. Mereka
bercadang membunuh Nabi Saleh di waktu malam hari bagi mengelakkan dari
pengetahuan pengikut-pengikutnya. Tetapi Allah SWT tidak terus
membiarkan hamba-hamba-Nya yang kafir itu membunuh Rasul-Nya sepertimana
yang berlaku terhadap unta Nabi Saleh A.S. Sewaktu mereka pergi ke
tempat Nabi Saleh A.S. bagi melaksanakan rancangan pembunuhan di malam
yang gelap dan sunyi itu, tiba-tiba satu longgokan batu-batu besar yang
tidak diketahui dari arah mana datangnya menimpa ke atas mereka sehingga
mengakibatkan kematian. Demikianlah Allah SWT telah melindungi
Rasul-Nya dari perbuatan mungkar dan niat jahat kaum Tsamud.
Nabi Saleh A.S. diperintahkan oleh Allah SWT supaya meninggalkan
kota Hijir dan kemudiannya menuju ke Ramlah, sebuah daerah di Palestin.
Sebaik-baik sahaja Nabi Saleh A.S. berserta para pengikut-pengikutnya
keluar daripada situ, Allah SWT telah menurunkan azab-Nya yang amat
dahsyat disusuli dengan panah petir dan gempa bumi menghancurkan
bangunan, rumah-rumah serta menelan kesemua penduduk- penduduknya.
Demikianlah keadaan yang berlaku terhadap kaum Nabi Saleh A.S. iaitu
suku Tsamud yang engkar kepada perintah-perintah Allah SWT Di dunia lagi
Allah SWT telah musnahkan kehidupan mereka sebelum menerima azab
seksaan yang lebih pedih di akhirat nanti. Apa yang dapat kita jadikan
pelajaran daripada kisah Nabi Saleh A.S. ini, bahawa kerana dosa dan
perbuatan mungkar yang dilakukan oleh sebahagian kecil sahaja boleh
mengakibatkan seluruh masyarakat yang lain turut binasa.
Di sinilah letaknya hikmah perintah Allah SWT agar kita melakukan
‘amal makruf nahi mungkar’. Kerana dengan melakukan tugas itu,
setidak-tidaknya kalau tidak berhasil mencegah kemungkaran dan maksiat,
kita telah berjaya mengelakkan diri dari dosa bersubahat atau menyetujui
pekerjaan mungkar itu. Bersikap sambil lewa, acuh tidak acuh terhadap
maksiat serta kemungkaran yang berlaku di hadapan mata, bererti kita
secara tidak langsung telah sama-sama terlibat di dalam perbuatan
mungkar itu.
No comments:
Post a Comment