Keadaan menjadi semakin meruncing membuatkan Nabi Hud terpaksa menyerahkan kaumnya kepada takdir Allah,
dengan berkata kepada kaumnya: “Baiklah jika kamu sekalian sungguh
meragukan kebenaran kata-kataku dan tetap berkeras tidak menghiraukan
dakwahku juga enggan meninggalkan penyembahan terhadap berhala-berhala
itu, maka tunggulah saat tibanya pembalasan Allah di mana kamu tidak
akan dapat melepaskan diri dari bencana-Nya dan penyesalan pada waktu
itu tidak akan menolongmu. Allah telah menjadi saksiku bahawa aku sudah
menyampaikan risalahNya dengan sepenuh tenagaku kepadamu dan akan tetap
berusaha sepanjang hayatku memberi penerangan dan tuntutan kepada jalan
yang baik yang digariskan oleh Allah bagi hamba-hambaNya.”
Pembalasan Allah terhadap kaum Aad yang engkar itu diturunkan dalam
dua peringkat. Peringkat yang pertama berupa kekeringan iaitu kemarau
yang melanda ladang-ladang serta kebun-kebun mereka sehingga menimbulkan
kecemasan dan kebimbangan kalau-kalau mereka tidak dapat memperolehi
hasil dari ladang dan kebun sebagaimana biasanya.
Namun dalam keadaan demkian, Nabi Hud masih berusaha meyakinkan
mereka, bahawa kemarau itu adalah permulaan seksaan Allah yang
dijanjikan dan bahawa Allah masih memberikan kesempatan kepada mereka
untuk sedar akan kesesatan dan kekafiran mereka dari kembali bertaubat,
beriman kepada Allah dengan meninggalkan pekerjaan menyembah
berhala-berhala mereka, juga memohon pengampunan dari
Allah agar segera hujan turun kembali dengan derasnya dan terhindarlah
mereka dari bahaya kelaparan yang mengancam.
Akan tetapi mereka tetap berdegil belum mahu mempercayai dan
menganggap janji yang dibuat oleh Nabi Hud itu adalah kosong belaka.
Mereka bahkan pergi menghadap batu-batu berhala memohon perlindungan dan
malapetaka yang mereka alami.
Tentangan mereka terhadap janji Allah yang telah diwahyukan kepada
Nabi Hud itu segera mendapat jawapan dengan datangnya pembalasan Allah
pada peringkat kedua yang dimulai dengan terlihatnya gumpalan awan dan
mega hitam yang tebal. Pada pandangan mereka gumpalan awan dan mega
hitam itu adalah hujan yang akan segera turun membasahi segenap ladang
dan kebun sayuran sedang mengalami kekeringan. Mereka menyambutnya
dengan sorak-sorai gembira.
Melihatkan sikap kaum Aad yang sedang bersuka-ria itu, berkatalah
Nabi Hud dengan nada yang mengejek,”Mega hitam itu bukanlah mega dan
awan rahmat bagi kamu tetapi mega yang akan membawa kehancuran kepada
kamu sebagai pembalasan Allah yang telah kujanjikan dan kamu nantikan
untuk membuktikan akan kebenaran kata-kataku yan selalu kamu sekalian
sangkal dan kamu dustakan.”
Sejurus kemudian menjadi menjadi kenyataanlah tentang apa yang telah
diramalkan oleh Nabi Hud itu bahawa bukan hujan yang turun dari awan
yang tebal itu tetapi angin taufan yang amat dahsyat dan kencang
disertai dengan suara gemuruh yang mencemaskan telah memusnahkan
bangunan rumah dari dasarnya, membawa berterbangan semua perabot dan
milik harta-benda dan melempar jauh binatang-binatang ternak. Keadaan
kaum Aad menjadi panik, mereka berlari tidak ketentuan arah mencari
tempat perlindungan. Suami tidak tahu di mana isterinya berada dan ibu
juga kehilangan anak-anaknya.
Bencana angin taufan itu berlarutan selama lapan hari tujuh malam,
sehingga sempat menyapu bersih kaum Aad yang sombong itu dan menamatkan
riwayatnya di dalam keadaan yang menyedihkan untuk menjadi pelajaran dan
ibrah bagi umat-umat yang akan datang. Ada pun Nabi Hud serta para-para
sahabat yang beriman, telah mendapat perlindungan Allah dari malapetaka
yang menimpa kaumnya itu dan tetap berada dalam keadaan selamat, aman
dan tenang seraya melihat keadaan kaumnya yang kacau-bilau, mendengar
gemuruhnya angin dan suara pohon-pohon dan bangunan-bangunan yang
berjatuhan disertai dengan teriakan, tangisan orang meminta pertolongan
dan perlindungan.
Setelah suasana kembali tenang dan tanah ‘Al-Alqaf sudah menjadi
sunyi-sepi dari segala makhluk, pergilah Nabi Hud meninggalkan tempatnya
berhijrah ke Hadramaut, di mana di situ beliau tinggal menghabiskan
sisa hayatnya sambil meneruskan dakwahnya sehingga beliau wafat dan
dikuburkan di situ, di mana hingga sekarang makamnya yang terletak di
atas sebuah bukit di suatu tempatan berhampiran Kota Siwun.
Dari kisah Nabi Hud di atas dapatlah kita ambil beberapa pengajaran
untuk dijadikan peringatan kita bersama dalam meneruskan penghidupan di
masa akan datang.
Nabi Hud telah memberikan contoh dan sistem yang baik yang sepatutnya
ditiru serta diikuti oleh setiap para pendakwah dan ahli penerangan
agama. Di mana beliau menghadapi kaumnya yang sombong lagi degil itu
dengan penuh kesabaran, keunggulan dan berlapang dada. Beliau tidak
sekali-kali membalas ejekan-ejekan juga kata-kata kasar mereka, tetapi
menolaknya dengan kata-kata yang halus yang menunjukkan bahawa beliau
dapat menguasai perasaannya dan tidak sampai hilang akal atau kesabaran.
Juga Nabi Hud tidak mudah marah dan tidak gusar ketika kaumnya mengejek
dengan me nuduhnya telah menjadi gila dan sesat. Beliau dengan
lemah-lembut menolak tuduhan dan ejekan itu dengan penuh hikmah.
Dalam berdialog dengan kaumnya, Nab Hud sentiasa berusaha mengetuk
hati nurani mereka dan mengajak mereka berfikir secara matang,
menggunakan akal fikiran yang sihat, dengan memberikan nasihat yang
bernas terhadap kebenaran dakwahnya dan kesesatan jalan mereka. Namun
hidayah itu adalah dari Allah, Dia akan memberi-Nya kepada sesiapa
sahaja yang dikehendaki Nya.
No comments:
Post a Comment