Selama tiga hari menyembunyikan diri di Gua Hira’, bekalan makanan dihantar oleh anak Abu Bakar sendiri, iaitu Asma’. Selepas itu, Nabi Muhammad SAW
dan Abu Bakar meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu
Yathrib (Madinah). Perjalanan mereka disertai dua orang rakan lain iaitu
Amir bin Fuhairah dan Abdullah bin Uraiqith. Mereka berjalan merentasi
padang pasir, gunung-ganang serta merempuh ribut pasir untuk meneruskan
usaha menyebarkan Islam kepada penduduk di sana.
Pada suatu hari, ketika merentasi padang pasir, Nabi Muhammad SAW
ternampak sebuah khemah di tengah padang pasir. Mereka mendekatinya
dengan niat mahu meminta bantuan atau membeli makanan. Kedatangan mereka
di sambut oleh seorang gembala kambing yang pemurah bernama Ummi
Ma’bad,. Wanita ini bersama suaminya, Abu Ma’bad memang sengaja memasang
khemah di tengah padang pasir itu untuk membantu para kafilah yang lalu
lalang. Selalunya pasangan suami isteri ini akan dibayar sedikit wang
oleh para kafilah atas bantuan yang diberi.
Mereka tiba dalam keadaan letih, lapar dan dahaga. Mereka berhasrat
untuk membeli daging dan kurma daripada wanita itu. Tetapi ketika itu
suami Ummi Ma’bad sudah keluar mengembala kambing di samping mencari
pelanggan dari kalangan kafilah yang lalu. Jadi, tiada apa-apa yang
boleh Ummi Ma’bad jual kepada tetamunya yang sedang kelaparan itu.
Ketika itu, Ummi Ma’bad tidak mengenali lelaki dihadapannya ialah
seorang Nabi, lelaki mulia yang menjadi sebutan seluruh tanah Arab
ketika itu. Sangkanya lelaki itu sama seperti lelaki dari kafilah lain
yang singgah meminta bantuan. Seketika kemudian, Nabi Muhammad SAW
terpandang seekor kambing kurus yang tertambat di tepi khemah.
“Apakah kambing itu mempunyai susu untuk diperah?” Nabi Muhammad SAW bertanya.
“Kambing itu terlalu lemah dan kurus, tuan. Tidak mungkin ia ada
susu,” balas Ummi Ma’bad. Dia merasa hampa kerana gagal membantu
tetamunya yang dalam kesusahan.
Sebaliknya Nabi membalas, “Tidak mengapa. Tetapi, bolehkah anda benarkan saya memerahnya?”
“Jika tuan fikir ia mempunyai susu, maka perahlah.” Ummi Ma’bad memberi kebenaran.
Nabi Muhammad SAW mendekati kambing itu dan mengusapnya perlahan. Dia
berdoa, membaca nama Allah dan mula memerah. Dengan izin Allah, susu
kambing keluar dengan banyak. Lalu susu itu diisi ke dalam mangkuk.
Kemudian, susu itu diberikan kepada Ummi Ma’bad dan tiga orang
sahabatnya yang keletihan. Selepas tiga orang sahabatnya kenyang,
barulah giliran Nabi meminumnya. Kemudian dia memerah semangkuk lagi dan
menyerahkan kepada Ummi Ma’bad sebagai bekalan. Sejurus kemudian,
rombongan itu mengucapkan terima kasih lalu meneruskan perjalanan ke
kota Madinah.
Tidak lama kemudian, suaminya, Abu Ma’bad pulang bersama sekawan
kambingnya yang kurus kerana tidak cukup makanan. Selepas melangkah
masuk ke dalam khemah, dia terperanjat melihat ada semangkuk susu segar.
Dia kehairanan kerana pada pengetahuannya, semua kambingnya kurus
kering dan kekurangan makanan. Tidak mungkin kambingnya boleh
mengeluarkan susu sesegar itu.
Ummi Ma’bad menceritakan mengenai kedatangan empat orang lelaki
Quraisy ke khemah mereka tadi. Dia menyatakan kagumnya dengan lelaki
itu. Katanya, lelaki itu punya sepasang tangan yang cukup berkat kerana
berjaya memerah susu daripada kambing yang kurus itu.
“Ceritakan bagaimana paras orang itu, Ummi Ma’bad,” pinta Abu Ma’bad.
“Dia seorang yang pembersih. Mempunyai wajah yang bercahaya dan tingkah laku yang sangat baik,” kata Ummi Ma’bad.
Kemudian dia menyambung, “Rupanya sangat cantik. Matanya hitam, bulu
keningnya lebat, suaranya garau manakala tengkuknya panjang. Dia
mempunyai janggut yang lebat dan betis yang panjang. Kulitnya pula
kemerah-merahan serta bercelak.” Dia berhenti berbicara. Abu Ma’bad pula
diam mendengarnya.
“Dia sangat tenang jika berdiam diri. Apabila bercakap, dia kelihatan
hebat. Jika dilihat dari jauh, dia seorang yang amat cantik dan
kelihatan cerah, manis dan bagus. Dia seorang yang terlalu sempurna,
serta mempunyai teman-teman yang sayang kepadanya. Jika dia bercakap
mereka mendengar dan menurut perintahnya.” Ummi Ma’bad memperincikan
sifat lelaki yang ditemuinya.
Abu Ma’bad kagum mendengarnya. “Demi Allah,
itulah lelaki Quraisy yang disebut-sebut di Mekah. Aku memang
bercita-cita hendak mengikutnya. Jika aku ada peluang, aku akan
lakukan!”
Mendengar kata-kata suaminya, Ummi Ma’bad tidak berlengah lagi. Dia
menyiapkan barang-barang keperluan lalu berangkat ke Madinah mengikut
jejak tetamunya tadi. Di sana, mereka memberikan taat setia dan menjadi
pengikut Islam yang sejati.
Sejak itu, nama Ummi Ma’bad atau nama asalnya Atikah binti Khalid
al-Khuzaiyah tercatat dalam sejarah Islam kerana bijak dan fasih dalam
menerangkan sifat Nabi. Ungkapan yang digunakannya begitu halus, lembut,
terperinci dan penuh berperasaan sekaligus membuktikan ketajaman
akalnya.
No comments:
Post a Comment