Nabi Musa
AS memiliki umat yang jumlahnya sangat banyak dan umur mereka
panjang-panjang. Ada golongan yang kaya dan ada juga golongan yang
miskin.
Suatu hari ada seorang yang miskin datang menghadap Nabi Musa AS. Ia
kelihatan begitu miskin, pakaiannya compang-camping dan sangat lusuh
berdebu.
Si miskin itu kemudian berkata kepada Baginda Musa AS, “Ya Nabi Allah, tolong sampaikan kepada Allah SWT permohonanku ini agar Allah SWT menjadikan aku orang yang kaya.”
Nabi Musa AS tersenyum dan berkata kepada orang itu, “Saudaraku, banyak-banyaklah kamu bersyukur kepada Allah SWT.
Si miskin itu agak terkejut dan kesal, lalu ia berkata, ” Bagaimana aku mahu banyak bersyukur, sedangkan aku jarang dapat makan, dan pakaian yang aku gunakan pun hanya satu pasang ini saja! “.
Akhirnya si miskin itu pulang tanpa mendapatkan apa yang
diinginkannya. Tidak lama kemudian ada seorang kaya datang menghadap
Nabi Musa AS. Orang tersebut bersih badannya juga rapi pakaiannya.
Ia berkata kepada Nabi Musa AS, “Wahai Nabi Allah, tolong sampaikan
kepada Allah SWT permohonanku ini agar dijadikannya aku ini seorang yang
miskin, kadang kala aku merasa terganggu dengan hartaku itu.”
Nabi Musa AS pun tersenyum, lalu ia berkata, “Wahai saudaraku, janganlah kamu bersyukur kepada Allah SWT.”
“Ya Nabi Allah, bagaimana aku tidak bersyukur kepada Alah SWT?. Allah
SWT telah memberiku mata yang dengannya aku dapat melihat. Telinga yang
dengannya aku dapat mendengar. Allah SWT telah memberiku tangan yang
dengannya aku dapat bekerja dan telah memberiku kaki yang dengannya aku
dapat berjalan, bagaimana mungkin aku tidak mensyukurinya”, jawab si
kaya itu.
Akhirnya si kaya itu pun pulang ke rumahnya. Kemudian terjadi adalah
si kaya itu semakin Allah SWT tambah kekayaannya kerana ia selalu
bersyukur. Dan si miskin menjadi bertambah miskin. Allah SWT mengambil
semua kenikmatan-Nya sehingga si miskin itu tidak memiliki selembar
pakaian pun yang melekat di tubuhnya. Ini semua kerana ia tidak mahu
bersyukur kepada Allah SWT.
Bila menyebut mengenai kesyukuran, tentu kita teringat tentang firman
Allah SWT di dalam sebuah Hadis Qudsi yang menyebut mengenai sifat
syukur, iaitu: “Kalau Aku uji kamu dengan kesusahan, kamu tidak
mahu bersabar, dan kalau Aku uji kamu dengan nikmat, kamu tidak mahu
bersyukur, maka nyahlah kamu dari bumi dan langit Allah ini dan pergilah
cari Tuhan yang lain.”
Kalau kita perhatikan hidup manusia ini dengan teliti, kita akan
dapati bahawa manusia ini sedetik pun tidak terlepas dari diuji. Manusia
diuji dengan ujian kesusahan ataupun ujian nikmat yang silih berganti
datangnya. Kemudian manusia dituntut supaya bersabar dalam menerima
kesusahan serta bersyukur dalam menerima nikmat. Jadi, pada hakikatnya,
apa sahaja pergolakan dan perubahan yang berlaku dalam hidup manusia
ini, ia hanya mempunyai dua sifat atau dua bentuk. Sama ada ia ujian
kesusahan atau ujian nikmat. Atas kedua-dua bentuk ujian ini, hati kita
perlu menerimanya dengan betul, iaitu bersabar apabila menerima
kesusahan dan bersyukur apabila dikurniakan nikmat.
Di antara kedua-dua tuntutan ini, sekali imbas kita lihat, bersabar
itu lebih susah dan lebih berat untuk dipraktikkan. Ini kerana dalam
bersabar, hati manusia perlu melalui kesusahan, keresahan, tekanan dan
penderitaan. Emosi, fikiran dan ketenangan jiwa terganggu. Kebahagiaan
hilang. Bersyukur pula, pada sekali imbas, nampak lebih senang dan mudah
kerana hati manusia berada dalam keadaan tenang dan gembira; tidak ada
tekanan atau penderitaan.
Apakah ini benar? Adakah bersyukur itu lebih mudah dari bersabar?
Kalau benar kenapa tidak ramai orang yang mampu bersyukur? Kenapakah
orang-orang yang benar-benar bersyukur itu sedikit sekali bilangannya.
Kenapakah Allah ada berfirman di dalam Al Quran: “Sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah As-Saba’: 13)
Bersyukur itu sebenarnya berperingkat-peringkat. Ramai orang, apabila
mendapat nikmat, lantas mereka memuji Allah. Mereka ucapkan
“Alhamdulillah”. Ini bersyukur cara biasa. Ramai yang boleh bersyukur
dengan cara ini. Akan tetapi, kalau setakat ucapan sahaja, ia belum lagi
dikira bersyukur yang sebenarnya. Kalau setakat ucapan sahaja, tetapi
tuntutan tuntutan lain dalam bersyukur itu tidak dilaksanakan, maka
ditakuti ucapan “Alhamdulillah” itu hanyalah untuk mempermain-mainkan
atau mempersendakan Allah sahaja.
Ramai juga orang, apabila menerima nikmat atau diselamatkan dari bala
bencana, lantas mereka memuji Allah dan mengucapkan “Alhamdulillah”. Di
samping itu hati mereka benar-benar merasakan Allahlah yang telah
memberi mereka nikmat itu, atau Allahlah yang telah menjauhkan mereka
dari bala bencana tersebut. Mereka diberi pahala kerana merasakan syukur
itu di dalam hati mereka. Ini bersyukur peringkat kedua.
Adapun syukur yang sebenar itu ialah syukur yang diucapkan oleh
lidah, yang dirasakan atau ditasdikkan di dalam hati, dan yang
dilaksanakan dalam perbuatan. Di samping mengucapkan “Alhamdulillah” dan
di samping merasakan di hati bahawa Allahlah yang mengurniakan nikmat
tersebut, nikmat itu mesti digunakan atau dikorbankan ke jalan Allah.
Inilah hakikat kesyukuran yang sebenarnya.
Kalau kita kaya contohnya, kekayaan itu perlu digunakan ke jalan
Allah untuk membantu fakir miskin, untuk jihad fisabilillah dan untuk
kemaslahatan umat Islam
keseluruhannya. Begitulah juga dengan segala bentuk nikmat Allah yang
lain. Semuanya perlu dimanfaatkan ke jalan Allah untuk mendapat
keredhaan-Nya.
Firman Allah : Maksudnya: “Kalau kamu bersyukur atas
nikmat-nikmat-Ku, Aku akan tambah lagi nikmat-nikmat-Ku. Tetapi kalau
kamu kufur nikmat, ingatlah sesungguhnya siksa-Ku amat pedih.” (Surah Ibrahim: 7)
Syukur seperti inilah yang Allah suka dan yang Allah mahu. Dia akan
tambah lagi nikmat-Nya, untuk cover balik apa yang dikorbankan ke jalan
Allah itu.
Justeru itu, kita dapati dalam bersyukur itu ada tugas, ada kerja dan
ada tanggungjawabnya iaitu kita terpaksa mengguna dan mengorbankan
segala nikmat yang Allah kurniakan itu ke jalan Allah. Nikmat Allah itu
perlu ditadbir, diurus dan digunakan pada jalan yang betul. Amat mudah
bagi manusia lupa diri dan menggunakan nikmat Allah itu kepada jalan
yang sia-sia atau lebih berat lagi kepada jalan maksiat. Kalau ini
berlaku maka nikmat itu akan bertukar menjadi bala dan mendapat laknat
daripada Allah.
Dalam bersabar, kita tidak ada kerja atau tanggungjawab tambahan
selain dari menahan perasaan. Tidak ada bahaya menyalahgunakan nikmat
kurniaan Tuhan. Apa yang perlu hanyalah menjaga dan mendidik hati supaya
dapat menerima ketentuan Allah itu dan berbaik sangka dengan-Nya.
Barulah kita faham kenapa Allah berfirman bahawa sedikit sekali
hamba-hamba-Nya yang bersyukur kerana bersyukur itu sendiri bukanlah
suatu perkara yang mudah.
Fahamlah kita sekarang, bersyukur itu rupanya lebih berat dari bersabar.
No comments:
Post a Comment