Nama ‘Aad’ sudah tidak asing lagi dalam sejarah Nabi Hud a.s. la merupakan suatu suku yang tertua sesudah kaum Nabi Nuh, serta terkenal dengan kekuatan jasmani dalam bentuk tubuh badan yang besar dan gagah. Dengan berkat Allah,
kehidupan mereka menjadi makmur, bahagia setelah dikurniakan Allah
tanah yang subur memudahkan mereka berkebun dan bercucuk tanam bagi
sumber makanan seharian.
Sepertimana berlaku terhadap kaum Nabi Nuh, kaum Nabi Hud iaitu suku
‘Aad’ juga mempunyai cara penghidupan yang menyembah berhala-berhala dan
tidak mengenal Allah. Mereka hidup di dalam kesesatan di mana iblis
mengambil kesempatan menambahkan kacau bilau menghasut manusia melakukan
kemungkaran.
Di antara sesama manusia sudah tidak ada belas kasihan lagi.
Perbezaan darjat dan keturunan membuatkan yang kuat menindas yang lemah.
Apa yang dipandang hanyalah kekayaan dan kekuatan lahiriah semata-mata.
Mereka mencipta patung-patung berhala lalu dinamakan dengan nama
‘Shamud’ dan ‘Alhattar’ dan inilah menjadi sembahan kerana menurut
kepercayaan mereka tuhan-tuhan itu yang memberikan segala nikmat
kehidupan, kemewahan, kebaikan dan boleh juga mendatangkan kecelakaan
sekiranya manusia engkar kepadanya.
Akibat dari itu mereka tidak henti-henti bersujud serta bersyukur dan
memohon perlindungan daripada kedua-dua jaatung berhala itu.
Demikianlah gambaran masyarakat suku ‘Aad’ di kala itu.
Sesungguhnya Allah
tidak mahu melihat hamba-hambaNya terpesong begitu jauh dari akidah
yang sebenar. Lalu kerana telah menjadi sunatullah sejak munculnya Nabi Allah
Adam ke bumi ini dari masa ke semasa, jika kedapatan sahaja
hamba-hambaNya yang sudah jauh menyimpang dari akidah yang benar yang
dibawa oleh Rasul-rasul dan Nabi-nabiNya, maka tatkala itu Allah
menghantarkan seorang Nabi atau Rasul untuk menyegarkan kembali
ajaran-ajaran suci Nabi-nabi sebelumnya.
Nabi Hud a.s. yang merupakan pilihan Allah s.w.t. Beliau adalah
terdiri dari keluarga yang terhormat, dipandang kedudukannya serta
terpengaruh di antara suku-suku di zaman itu. Beliau terkenal dengan
tingkah laku yang bersopan, baik budi pekerti, lurus tutur-kata, baik
pergaulannya serta bijaksana dan mempunyai pemikiran yang amat luas.
Nabi Hud mula menyebarkan dakwahnya terhadap kaumnya iaitu suku ‘Aad’.
Nabi Hud memberitahu akan kewujudan Allah serta kekuasaan memberi nikmat
kehidupan yang berbagai-bagai untuk mereka kecapi bersama. Oleh
kerana itu kita sebagai hamba-Nya wajib menyembah Allah serta
menyatakan rasa kesyukuran kepadaNya. Kita manusia adalah makhluk-Nya
yang juga tidak wajib merendahkan diri bersujud menyembah batu-batu
berhala yang tidak kekal itu.
Nabi Hud menyeru agar kaumnya sedar dan bertaubat lantas kembali
beriman kepada Allah. Tinggalkanlah perbuatan yang terkutuk itu dan
hiduplah di dalam keadaan yang tenteram serta berbaik-baik sesama
manusia. Dan seandainya kamu enggan mematuhi kepada apa yang
diperintahkan oleh Allah, tunggulah balasan-Nya sebagaimana terjadi ke
atas kaum Nuh yang mati binasa dengan air bah akibat keangkuhan mereka
menolak seruan dakwah yang dilaungkan. Tetapi bagi suku ‘Aad’, mereka
tetap berdegil menolak kebenaran yang diajarkan oleh Nabi Hud. Kepada
mereka seruan itu tidak dapat difahami dan diterima oleh akal mereka
kerana ianya adalah perkara baru yang sebelum ini tidak pernah
didengari. Segalanya membuat mereka enggan menerimanya dengan hati
terbuka malah mencaci dengan berbagai ejekan.
Berkata kaum ‘Aad’ kepada Nabi Hud: “Wahai Hud, kami telah lama
hidup dengan cara menyembah berhala-berhala ini bahkan nenek-moyang kami
juga mengamalkan perbuatan ini. Bagaimana boleh kami meninggalkannya
dan beralih pula kepada Tuhan engkau yang tidak dapat kami lihat dan
Tuhan menurut katamu tidak bersekutu. Segala-galanya ini adalah karut
dan kami tetap tidak akan berubah.”
“Wahai kaumku.” Jawab Nabi Hud, “Sesungguhnya Tuhan yang aku serukan
kepada kamu untuk menyembah-Nya, walaupun kamu tidak dapat menjangkau
dengan pancainderamu, namun kamu dapat melihat dan merasakan
kewujudan-Nya apabila kamu melihat alam semesta ini yang penuh dengan
bermacam-macam kejadian seperti gunung, bulan, bintang, tumbuhan serta
binatang-binatang yang kesemuanya boleh memberi faedah kepada kamu
sekalian agar hidup di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan.”
“Sembahlah Allah yang Maha Esa yang tiada bersekutu, tidak beranak
dan diperanakkan. Dia Maha Mengetahui setiap perbuatanmu, setiap gerak
langkah hatimu, setiap denyut jantung dan jalan fikiranmu. Jauhkanlah
diri kamu bertuhankan patung-patung berhala yang tak bermakna yang kamu
ukir dengan tangan kamu sendiri. Takutlah kamu kepada Allah serta
ingatlah bahawa balasanNya amat dahsyat bagi mereka yang engkar.”
Mendengarkan kata-kata Nabi Hud itu kaumnya menjadi hairan dan salah
seorang daripada mereka berkata pula: “Wahai Hud. Apa yang membuatkan
engkau berpendapat demikian menghina tuhan-tuhan kami yang telah menjadi
pegangan kami sejak dahulu kala lagi. Engkau mengaku bahawa engkau
adalah utusan Tuhanmu untuk membawa kami kepada agama yang lurus dan
benar itu. Apakah kelebihanmu sehingga dipilih sebagai Rasul-Nya
sedangkan engkau tetap makan, minum, tidur dan hidup bercucuk tanam
seperti kami Apa bezanya antara engkau dengan seseorang daripada kami.
Sungguh engkau ini seorang pendusta besar yang hanya berkehendakkan
pengaruh untuk mendapat kekayaan.”
“Wahai kaumku,” jawab Nabi Hud, “Aku bukanlah seorang pendusta dan
fikiranku tetap waras. Kamu kenal aku sejak lama aku hidup bersama-sama
kamu sekalian, bahawa aku tidak pernah berkata bohong dan sepanjang
pergaulanku dengan kamu, tidak pernah terlihat pada diriku tanda-tanda
tidak kesempurnaan akal fikiranku. Aku adalah utusan Allah yang
diamanatkan supaya memimpin kamu ke jalan yang benar dan diredhai
Allah. Janganlah kamu mudah terpengaruh dengan bisikan iblis yang hanya
ingin menyesatkan kamu. Maka percayalah kepadaku, berimanlah dan
bersujudlah kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam, Tuhan yang
menghidupkan dan mematikan kamu, Tuhan yang berkuasa atas
segala-galanya. Pohonkanlah keampunan daripada- Nya atas pekerjaan
sesatmu itu. Aku hanya menyampaikan apa yang Allah perintahkan dan
peringatkan akan akibat yang akan menimpa diri kamu jika kamu tetap
mengengkari kebenaran dakwahku.”
Kaum ‘Aad’ dengan megah menjawab: “Kami bertambah yakin dan tidak
ragu lagi bahawa engkau ini akan mendapat kutukan tuhan-tuhan kami.
Engkau telah mengucapkan kata-kata yang tidak masuk akal. Apakah azab
seksa yang sentiasa engkau takut-takutkan kami dan mengancam kami?
Ketahuilah bahawa kami tidak akan menyerah dan mengikuti ajaranmu dan
kami tidak takut akan balasan yang engkau bayangkan bahkan kami
menentang kepadamu agar datangkanlah apa yang engkau janjikan jika
engkau seorang Rasul dan bukan seorang pendusta.”
No comments:
Post a Comment