Sejarah hidup para wanita solehah dalam Islam sudah tercatat dalam Al Quran
dan Hadis, marilah kita sama-sama menghayati sejarah hidup mereka agar
kita termasuk dalam golongan penyumbang perjuangan Islam.
Siti Hajar duduk setahun dua tahun di padang pasir, di tinggalkan
suami, suami datang sesekali, kemudian namanya dicipta untuk al-Quran
sepanjang zaman.Tidak mungkin kita tidak mahu seperti cerita Siti Hajar
ini. Tidak mahukah kita dengan apa yang dikatakan di dalam al Quran?
Apakah kita masih mahukan suami kita ada bersama tiap-tiap hari dengan
kita. Tidak sanggup kalau suami kita setahun sekali baru datang. Siti
Hajar sanggup menciptakan keajaiban, menjadi wanita yang ditinggalkan
oleh suami hanya berjumpa setahun sekali. Tetapi ditangannyalah keluar
air zam-zam, dialah menghidupkan bandar Kaa’bah Makatulmukarromah.
Mukjizat kepimpinan dan didikan dari suaminya iaitu Nabi Ibrahim.
Ramai manusia sudah melupakan Ummul Mukminin
Khadijah binti Khuwailid. Dialah yang digelar Afifah Solehah (wanita
suci). Seorang wanita yang sanggup berkorban segala kekayaannya untuk
membantu dakwah Rasulullah SAW.
Dialah yang paling pertama beriman, tanpa meragukan seruan Rasulullah
SAW. Dialah wanita, yang menenangkan suaminya yang ketakutan tanpa
memperlekehkan. Dialah wanita, yang tegar bertahan susah senang bersama
suaminya, sehingga nyawa ditarik Allah SWT.
Bayangkan, dia adalah seorang yang kaya raya, hartawan, tetapi sanggup
dipulau bersama Rasulullah SAW selama 3 tahun 3 bulan dan makan pucuk
kayu sahaja hingga pecah-pecah mulut.
Ramai juga terlupa dengan Fatimah Az-Zahrah binti Rasulullah SAW.
Dialah yang bertahan di sisi Rasulullah SAW ketika ayahandanya itu
diseksa teruk. Tanpa kecewa, tanpa rasa hendak berputus asa, dia
sentiasa membantu ayahandanya yang sering disakiti. Tangannya yang
bersih dan suci itulah yang mencuci najis yang dibalingkan ke tubuh
ayahandanya. Tangannya yang suci itulah yang membersihkan segala luka
ayahandanya. Seorang wanita yang tabah, kuat menempuhi segala dugaan.
Ramai yang telah terlupa akan seorang wanita bernama Asiah. Dia
adalah isteri kepada Firaun yang menentang Musa. Allah telah menjadikan
bicara lembutnya menyelamatkan Musa AS dari dibunuh Firaun. Allah juga
menjadikan dia antara yang beriman dengan seruan Musa AS. Malah, Allah
telah merakamkan namanya di dalam Al-Quran, dan menjanjikan kepadanya
syurga atas balasan ketabahannya dalam mengharungi hidup bersama Firaun
dan menerima segala seksaannya dalam mengekalkan iman dan Islam dalam
dirinya.
Ramai yang tidak mengetahui sejarah seorang wanita bernama Mutiah
yang tinggi taatnya kepada suami tercinta. Acapkali menyediakan
tongkat,air dan berhias diri demi untuk suami dan menunggu suaminya
pulang dari berjihad tanpa sekelumit rasa bosan dan patah
semangat.Menjaga kehormatan diri dan maruah keluarga dengan
seteguhnya.Dialah wanita yang akan memimpin dan memegang tali kenderaan
tunggangan Fatimah az-Zahra ketika masuk ke syurga.
Ramai pula yang tidak tahu berkenaan Masyitah. Dia adalah tukang penyisir rambut anak Firaun. Beriman kepada Allah SWT dan Nabi Musa,
kemudian keimanannya diketahui oleh Firaun. Akhirnya dia bersama suami,
serta anaknya yang masih bayi telah dicampakkan ke dalam kuali penuh
minyak mendidih. Walaupun nyawa di hujung tanduk, imannya tidak
tergadai, malah terjun dengan penuh keyakinan. Masyitah mati syahid
mempertahankan imannya dari digadai.
Ramai juga yang telah terlupa kepada Si Suci Maryam, ibu kepada Isa
AS. Sang Perawan itu menjaga dirinya, mengabdikan diri dalam bilik yang
terkunci, Allah memuliakannya dengan memilih Zakaria as sebagai penjaga.
Maryam yang suci inilah dipilih Allah untuk mengandungkan Isa AS.
Apabila dia melahirkan Isa AS dan ditohmah dengan pelbagai dugaan, dia
bergantung kepada Allah, dan bersangka baik atas segala apa yang berlaku
ke atasnya. Akhirnya anaknya Isa AS boleh berbicara dan menyeru manusia
semenjak buaian.
Siapakah yang hendak mencontohi Nusaibah r.a.h? Ketika Perang Uhud,
Nusaibah keluar memberi minum kepada pasukan Muslimin yang kehausan dan
merawat mereka yang mendapat luka. Apabila tentera Islam menjadi
terdesak dan lari dari medan perang, cuma ada seratus orang sahaja yang
tetap bertahan dan Nusaibah adalah salah seorang yang menghunuskan
pedang serta memakai perisai bagi melindungi Rasulullah dari diserang
musuh. Kesungguhan Nusaibah melindungi Rasulullah SAW begitu hebat,
hinggakan Rasulullah SAW berkata, “Aku tidak menoleh ke kiri dan ke
kanan kecuali melihat Ummu Imarah (Nusaibah) berperang dihadapanku.”
Ketika itu, anaknya Abdullah luka parah ditikam musuh. Dia mengikat
luka anaknya lalu berkata, “Bangun wahai anakku.” Anaknya itu terus
bangun dan melawan tentera musuh. Rasulullah SAW yang melihat peristiwa
itu bersabda. “Wahai Ummu Imarah, siapakah yang mampu berbuat seperti
mana yang engkau lakukan?” Ketika tentera musuh yang menikam anaknya itu
menghampiri, Rasulullah SAW berkata kepadanya, “Ini dia orang yang
telah melukakan anakmu.” Nusaibah menghampiri orang itu dan menikam
betisnya dengan pedang. “Ya, Ummu Imarah! Engkau berjaya membalasnya,”
kata Rasulullah SAW sambil tersenyum melihat kesungguhan Nusaibah hatta
Rasulullah SAW pun bersorak untuknya. Siapakah yang mengingati Ummu
Imarah ini?
Siapakah pula yang hendak menjadi seperti Ummu Sulaim? Dia berkahwin
dengan Abu Talhah dengan mahar iman. Abu Talhah seorang kafir ketika
itu, jatuh hati kepada Ummu Sulaim yang masih muslim. Ummu Sulaim
berkata: “Jika hendak mengahwiniku, maka maharnya adalah iman”. Maka
Islamlah Abu Talhah. Sehingga ada sahabat yang berkata, “Aku belum
pernah melihat seorang wanita sama sekali yang lebih mulia maskawinnya
dibandingkan dengan maskawin Ummu Sulaim.” Malah, dia mentarbiyyah
suaminya, sehingga suaminya menjadi seorang sahabat yang komited. Siapa
yang tidak kenal dengan Abu Talhah? Dialah yang menyambut semua panahan
yang ditujukan kepada Rasulullah SAW, pada hari Uhud dengan belakang
tubuhnya. Lihatlah bagaimana Ummu Sulaim mentarbiyyah suaminya? Adakah
lagi isteri yang sebegitu hari ini?
Siapakah pula yang mengingati isteri kedua Rasulullah SAW, Ummu Salamah?
Bagaimana cerdiknya dia, bijaknya dia sehinggakan dia menjadi penasihat
yang baik kepada Rasulullah SAW. Ketika peristiwa Perjanjian
Hudaibiyyah, apabila Rasulullah mengarahkan semua sahabat-sahabatnya
menyembelih haiwan dan bercukur rambut, tiada seorang pun yang bangkit
menyahut arahannya. Rasulullah SAW hairan, lantas kembali ke khemah,
lalu berkata di hadapan Ummu Salamah, “Kenapakah berlaku begitu?” Ummu
Salamah berkata, “Jangan kau hiraukan mereka, cukurlah rambutmu, dan
sembelihlah haiwanmu” Bila Rasulullah SAW melakukan, semua sahabat
mengikuti.
Siapakah pula yang hendak mencontohi isteri Rasulullah SAW, Aisyah
RA? Ketika peristiwa Hadith Ifki (kisah rekaan) berlaku, menumpahkan
fitnah ke atasnya, mengotorkan namanya, dia tetap teguh, yakin kepada
Allah SWT. Tiada sebentar pun dia bersangka buruk kepada Allah SWT bila
ditimpa dugaan.
Siapakah pula yang mengingati Asma’ binti Abu Bakr? Dia digelar Zat
An-Nitaqain kerana mengoyakkan tali pinggangnya kepada dua untuk membawa
makanan kepada Rasulullah SAW dan bapanya Sayidina Abu Bakar
RA ketika persembunyian di Gua Thur. Dialah juga yang dilempang oleh
Abu Jahal sehingga tercabut subang di telinganya, kerana tidak mahu
memberitahu posisi Rasulullah SAW dan bapanya ketika hijrah. Dialah juga
yang mentarbiyyah anaknya, Abdullah Ibn Zubair RA, sehingga menjadi
seorang sahabat Rasulullah SAW yang berani.
Siapakah pula yang ingat kepada Khansa? Dia mempunyai empat orang
anak. Dia mentarbiyyah empat orang anaknya dengan baik. Apabila mendapat
seruan jihad, dihantarnya anaknya yang sulung. Anak sulungnya syahid.
Dihantar pula yang kedua. Yang kedua juga syahid. Dihantar pula yang
ketiga. Yang ketiga juga syahid. Begitu jugalah juga dia menghantar
anaknya yang keempat, dan yang keempat itu pun syahid. Akhirnya dia
menangis. Orang berkata, “Khansa kesedihan kerana kehilangan semua
anaknya” Tetapi tahukah kalian apakah jawapannya? “Diamlah kalian,
sesungguhnya aku bersedih kerana aku tidak punya anak lagi untuk
dihantar berjihad di jalan Allah”
Wahai perempuan hari ini, siapakah antara kamu yang mengingati
mereka? Wahai lelaki hari ini, siapakah antara kamu yang mengenang
mereka? Wahai ummah, hari ini perempuan mana yang kamu puja dan puji? Oh
masyarakat, hari ini perempuan bagaimana yang kamu sanjungi? Oh
perempuan, hari ini perempuan mana yang kamu ikuti dan contohi? Oh
lelaki, hari ini perempuan yang bagaimana kamu gilakan untuk jadikan
isteri? Siapa? Sesungguhnya perempuan-perempuan dalam lipatan sejarah
ini telah dilupakan. Mereka sememangnya perempuan-perempuan yang telah
dilupakan. Sedangkan pada diri mereka, terdapat kemuliaan yang tiada
tandingan.
No comments:
Post a Comment