Dikalangan Bani Israil
di zaman dahulu, ada seorang lelaki yang sangat tekun dan rajin
mengerjakan ibadah. Ia mempunyai wajah yang kacak dan segak hingga
ramailah wanita yang tertawan dengan ketampanannya. Namun rasa takutnya
kepada Allah SWT menjadi pendinding utama dapat mengawalnya daripada berfoya-foya.
Suatu masa, ketika sedang menjaja tas
keranjang daun kurma buatannya sendiri, ia sampai di hadapan istana
raja. Kebetulan salah seorang daripada dayang istana itu ternampak
lelaki tersebut dan terpesona dengan ketampanannya. Dayang itu
kemudiannya bercerita mengenai lelaki itu kepada permaisuri raja.
Permaisuri begitu tertarik lalu timbul niat jahat di hatinya.
“Suruh orang muda itu masuk menghadap,” titahnya kepada dayang tersebut.
Apabila lelaki itu berada di hadapannya, permaisuri menyerahkan
sepasang persalinan pakaian diraja dan berkata, “Letakkan semua tas
keranjangmu itu dan pakailah pakaian ini.”
Kemudian permaisuri itu menyuruh dayangnya mengambil minyak wangi untuk dipakaikan kepada lelaki tersebut.
Tanpa mengesyaki apa-apa, lelaki itu melakukan segala suruhan
permaisuri. Lalu permaisuri itu pun berkata, “Orang muda! Kamu jangan
khuatir. Beta akan memenuhi segala keperluanmu asalkan kamu bersedia
memenuhi nafsuku.”
Sebaik sahaja terdengar kata-kata yang tidak disangka-sangkanya itu,
gementarlah lelaki itu lalu berkata, “Aku tidak akan melakukan perbuatan
terkutuk itu!”
Permaisuri cuba
juga memujuk lelaki itu berkali-kali, tetapi gagal mempengaruhinya.
Akhimya dengan perasaan marah, ia berkata, “Baiklah! Kalau kamu enggan
memenuhi hajatku, kamu tidak boleh keluar dari sini.” Kemudian
permaisuri mengarahkan dayang-dayangnya menutup semua pintu dan tingkap
istana.
Setelah semua jalan keluar ditutup,lelaki itu bertanya, ” Wahai
permaisuri! Bolehkah bawakan saya ke tempat yang paling tinggi dalam
istana.”
Dengan harapan hajatnya akan dipenuhi, permaisuri itu pun membenarkan lelaki itu naik ke menara istana.
Apabila telah berada di puncak istana, lelaki itu berkata kepada
dirinya sendiri, “Wahai jiwa! Selama 70 tahun kamu beramal mencari
keredhaan Allah, Tuhan yang Maha Pemurah, apakah kamu akan merosakkannya dalam beberapa saat semata-mata untuk memenuhi keinginan nafsu dan syaitan? Demi Allah! Kau mengkhianati dirimu sendiri jika engkau tunduk kepadanya!”
Dalam keadaan malu dan, takut untuk melakukan maksiat kepada Allah, lelaki itu pun terjun dan menara yang tinggi itu.
Lalu Allah SWT yang Maha Pemurah dan Pengasih itu pun berfirman: “Wahai Jibril!
Hamba-Ku itu terjun lantaran takut kepada kemurkaan-Ku dan kedosaan.
Hamparkan sayapmu untuk menyambutnya, jangan sampai ia binasa!”
Begitulah kisah yang boleh menjadi teladan kepada kita perihal
seorang yang takutkan Allah hingga begitu takut melakukan dosa, maka
Allah selamatkannya dari terlibat dengan dosa.
Banyak Hadis Nabi
menyebut tentang fitnah wanita antaranya:
Imam Muslim dalam shahihnya meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn
Al-Zubair , bahawasanya Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya wanita itu , ketika datang dari depan, dia datang dalam
bentuk syaitan dan ketika pergi (membelakang tubuhnya) dia
memperlihatkan bentuk syaitan pula.
Oleh sebab itu, jika salah seorang dari kamu melihat seorang wanita
yang menarik perhatian, maka hendaklah segera mendapatkan isterinya,
dengan itu dapat menolak (nafsu) yang ada di dalamnya.”
Syaitan itu membuat wanita kelihatan indah pada pandangan sebahagian
besar orang yang melihatnya, agar mereka semakin banyak menimbulkan
dosa-dosa dan orang warak akan melihat hal-hal yang diharamkan Allah swt.
Imam Muslim juga meriwayatkan dalam shahihnya, daripada Abu Said
Al-khudri bahawa Rasulullah saw bersabda, maksudnya: “Hendaklah kalian
takut terhadap (Godaan) dunia dan takutlah kalian terhadap (godaan)
wanita.”
Ibnu Abbas mengatakan, “Tidak ada dalam kalangan orang terdahulu
yang menjadi kafir, kecuali gara-gara wanita dan orang yang terkemudian
pun kafir gara-gara wanita(juga).”
Said Ibnu Al-Musayyab berkata,” Setiap kali syaitan berputus asa
menganggu seseorang, maka ia akan melancarkan ganguannya melalui wanita.”
No comments:
Post a Comment